BATU KAWAN, 28 Feb (Bernama) -- Sebuah projek perumahan pekerja asing bernilai RM300 juta dibina di kawasan Penang Science Park South, di sini bagi memenuhi keperluan penempatan pekerja asing di kawasan berkenaan sejajar dengan pertumbuhan pesat kilang-kilang di sekitarnya.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pembangunan asrama pekerja secara berpusat, terkawal dan terancang bagi membantu kerajaan negeri menangani beberapa masalah berkaitan pekerja asing di negeriitu terutama kesan sosial di tempat kediaman apabila mereka menyewa rumah pangsa atau taman perumahan.
"Pulau Pinang sebagai sebuah negeri industri dengan menyaksikan pelaburan merancang membina kilang-kilang dan memerlukan tenaga pekerja sebahagian datang dari negara luar yang memerlukan tempat penginapan iaitu asrama pekerja asing, ia dibina juga adalah bagi mematuhi Akta 446 iaitu mematuhi piawaian antarabangsa," katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Asrama Pekerja Asing itu di Plot 1017, Penang Science Park South, di sini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) Datuk Aziz Bakar dan Pengerusi Eksekutif Urban Pinnacle Sdn Bhd Stephen Wong.
Projek asrama itu terdiri daripada 836 unit pangsapuri untuk menempatkan 8,360 pekerja asing dan blok komersial dengan dilengkapi kemudahan antaranya medan selera, kedai runcit, kawalan keselamatan, kawasan rekreasi serta beberapa lagi.
Chow yang juga Pengerusi PDC berkata berkata projek itu dijalankan secara perjanjian pajakan iaitu pembinaan dan pengurusan asrama oleh Urban Pinnacle Sdn Bhd di atas tanah seluas 2.942 hektar (7.27 ekar) milik PDC dan pembinaannya dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
Beliau berkata pencapaian penting itu menggariskan hasrat strategik untuk meletakkan penginapan pekerja asing dalam satu kawasan dengan persekitaran yang terkawal dan terancang.
Sementara itu, Aziz berkata terdapat dua lagi projek asrama pekerja asing yang akan dibina secara perjanjian pajakan dengan syarikat swasta tahun ini yang setiap satu mampu menempatkan hingga 8,000 warga asing.
Beliau berkata projek itu masing-masing di Batu Kawan dan Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP 3) yang dibina dalam kawasan perindustan iaitu jauh daripada penempatan atau perumahan penduduk.
"Dua projek itu mampu menempatkan 7,000 hingga 8,000 pekerja asing dan asramanya berkeluasan hampir sama dengan pecah tanah projek hari ini, kedua-dua asrama itu akan dibina oleh syarikat swasta di atas tanah milik PDC," katanya.
-- BERNAMA