KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Bank Rakyat menerima dua pengiktirafan antarabangsa yang mengiktiraf komitmen berterusannya dalam menyokong komuniti dan memacu keterangkuman kewangan serta kelestarian alam sekitar melalui aktiviti Jangkauan Komuniti.
Bank Rakyat diiktiraf sebagai 'Most Socially Responsible Bank' di Anugerah Kewangan Antarabangsa Ke-12 yang berlangsung di Waldorf Astoria Bangkok, Thailand, dan turut menerima anugerah 'Best Environmental Excellence Award' di Anugerah Tahunan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Ke-17 2025 di Ho Chi Minh City, Vietnam.
Anugerah Kewangan Antarabangsa yang dianjurkan oleh International Finance Publications Ltd mengiktiraf tenaga kerja industri, kemahiran kepimpinan, nilai bersih industri, dan keupayaan di platform antarabangsa, khususnya di Asia dan Eropah, kata Bank Rakyat dalam satu kenyataan, hari ini.
Annual Global CSR and ESG Awards yang dianjurkan oleh The Pinnacle Group International mengiktiraf syarikat bagi produk, perkhidmatan, dan program bertaraf dunia yang cemerlang.
Sebagai Institusi Kewangan Pembangunan, Bank Rakyat berkata ia harus memainkan peranan penting dalam memupuk kesejahteraan ekonomi dan sosial.
Pengiktirafan itu juga memberi motivasi kepada bank berkenaan untuk terus meningkatkan impak positif dalam kalangan masyarakat dan komuniti setempat, katanya.
“Pada masa hadapan, Bank Rakyat berdedikasi untuk terus mengintegrasikan kemampanan dalam seluruh operasi dan strategi perniagaan Bank, di samping menggiatkan usaha membangunkan penyelesaian baharu dan bekerjasama dengan rakan strategik serta institusi yang sealiran bagi memangkinkan impak sosial yang positif.
“Pelaksanaan inisiatif Jangkauan Komuniti yang direncanakan sepanjang tahun seperti program Kebun Nuri Nutrisi dan inisiatif kesukarelawanan BaktiRAKYAT menjadi agenda utama Bank Rakyat dalam meningkatkan kebajikan masyarakat.
“Ia juga bagi memenuhi keperluan sosioekonomi semasa golongan yang memerlukan khususnya dalam kalangan 'unserved dan underserved' (kumpulan yang tidak mendapat perkhidmatan atau kurang diberi perkhidmatan),” katanya.
-- BERNAMA