JENAYAH & MAHKAMAH

PERMINTAAN KPMG BOLEH JADI BUKAN AMALAN STANDARD INDUSTRI - BEKAS PENGERUSI 1MDB

04/03/2025 01:16 AM

PUTRAJAYA, 3 Mac (Bernama) -- Bekas pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa firma audit KPMG bersikap tidak adil terhadap syarikat itu kerana meminta dokumen tambahan mengenai pelaburan AS$2.3 bilion oleh 1MDB dalam Brazen Sky Ltd di Hong Kong, sehingga menyebabkan kelewatan menandatangani penyata kewangan 1MDB 2013.

Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, 75, berkata keengganan KPMG meluluskan penyata kewangan itu berpunca daripada KPMG tidak bersetuju dengan saranan lembaga pengarah 1MDB supaya mereka pergi ke Hong Kong untuk mengesahkan pelaburan syarikat itu dalam Brazen Sky.

"Pertama, berlaku kelewatan. Kemudian timbul perselisihan tentang bagaimana ia (pengauditan) perlu dilakukan," kata saksi pembelaan ke-12 itu semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar pada perbicaraan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas dakwaan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1MDB.

Bagaimanapun, Kamal Baharin berkata dokumen yang diperlukan oleh KPMG itu semestinya penting kerana mereka enggan menandatangani penyata kewangan 2013 ekoran tugas mereka sebagai juruaudit.

Sebagai tindak balas, Che Lodin berkata KPMG mungkin mempunyai keperluan unik tersendiri yang tidak semestinya keperluan standard.

"Kami mempunyai semua laporan daripada Bank BSI mengenai pelaburan AS$2.3 bilion dalam Brazen Sky. Mungkin standard mereka adalah unik.

"Apabila kami menggantikan juruaudit kepada Deloitte, Deloitte bersetuju untuk menandatangani penyata kewangan itu," kata Che Lodin sekali gus mencadangkan bahawa permintaan KPMG mungkin melangkaui keperluan biasa pelaksanaan audit.

Saksi berkenaan turut mengesahkan satu mesyuarat berhubung perkara itu telah diadakan pada 31 Dis 2013 di kediaman Najib di Langgak Duta dengan dihadiri KPMG termasuk rakan kongsi pengurusannya ketika itu Datuk Johan Idris.

Kamal Baharin: Tahukah anda dokumen apa yang diminta oleh Datuk Johan?

Che Lodin: Mereka mahu melihat pelaburan dalam Brazen Sky ini dalam bentuk portfolio diasingkan. Saya bukan akauntan atau juruaudit jadi saya tidak terlalu faham apa yang mereka mahukan.

Keengganan KPMG untuk menandatangani penyata kewangan itu membawa kepada penyingkiran firma audit itu sebagai juruaudit 1MDB oleh lembaga pengarah dan kemudian digantikan dengan Deloitte.

Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengarahkan Najib membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Najib, 71, berdepan 25 pertuduhan termasuk empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan