DUNIA

BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH BERIKUTAN SENTIMEN BERHATI-HATI

03/03/2025 09:23 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah untuk hari ketiga berturut-turut hari ini memandangkan pelabur terus berhati-hati menjelang pengumuman mengenai dasar perdagangan utama daripada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 3.31 mata atau 0.21 peratus kepada 1,571.39 daripada 1,574.70 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 2.43 mata kepada 1,572.27, dan bergerak antara 1,568.59 dan 1,580.80 sepanjang hari dagangan.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 707 berbanding 354 manakala 425 kaunter tidak berubah, 831 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan menyusut kepada 3.18 bilion unit bernilai RM2.44 bilion daripada 4.39 bilion unit bernilai RM6.45 bilion pada Jumaat lepas.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata keputusan yang semakin hampir mengenai tarif AS yang menyasarkan Kanada, Mexico dan China telah meningkatkan ketidakpastian pasaran, mendorong pelabur untuk mengurangkan dedahan kepada ekuiti berikutan peningkatan risiko geopolitik.

"Walaupun pertikaian perdagangan ini melibatkan terutamanya AS dan China, kesan limpahan terus mempengaruhi sentimen pasaran tempatan dan dedahan perdagangan Malaysia," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dengan ketegangan perdagangan yang semakin meningkat dan ketidakpastian dasar yang berterusan, peserta pasaran dijangka terus berhati-hati, lebih cenderung untuk mengambil kedudukan defensif dan mencari peluang terpilih dalam sektor yang berdaya tahan terhadap kejutan luar.

“Pada masa hadapan, penjelasan mengenai rundingan perdagangan akan menjadi pemangkin kritikal terhadap sentimen dan hala tuju pasaran,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI ditutup menyusut sedikit di tengah-tengah sentimen pasaran yang lembap.

"Pasaran serantau bercampur-campur memandangkan pelabur menunggu penjelasan lanjut mengenai langkah tarif oleh Trump terhadap rakan dagang utama," katanya.

Beliau berkata Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick menegaskan bahawa tarif tambahan 10 peratus ke atas import dari China telah disahkan.

"Dalam pada itu, mesyuarat dua sesi yang akan datang di China akan dipantau dengan teliti oleh pelabur bagi mendapatkan petunjuk mengenai dasar ekonomi dan usaha rangsangan yang berpotensi dilakukan," katanya.

Di pasaran tempatan, Thong menjangkakan bursa tempatan akan terus berhati-hati berikutan perubahan yang besar dalam situasi makro dan mengunjurkan indeks petunjuk pasaran akan kekal dalam sentimen tidak banyak berubah untuk jangka pendek sehingga lebih banyak kejelasan.

"Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI akan bergerak dalam julat 1,560-1,590 bagi minggu ini," katanya.

Saham wajaran tinggi Bursa Malaysia Public Bank naik 3.0 sen kepada RM4.56, CIMB meningkat 19.0 sen kepada RM8.00, Tenaga Nasional menambah 10.0 sen kepada RM13.70, Maybank turun 4.0 sen kepada RM10.68, dan IHH Healthcare menyusut kepada RM3.0 sen kepada RM7.42. 

Bagi saham aktif, MY EG naik 6.0 sen kepada 93.5 sen, Pantech Global turun 10.5 sen kepada 57.5 sen, Cape EMS rendah 2.5 sen kepada 24.5 sen, dan Nationgate Holdings berkurangan 55.0 sen kepada RM1.30 manakala Genting Malaysia kekal pada RM1.90.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya jualan singkat harian (IDSS) bagi saham Nationgate Holdings telah digantung sepanjang hari memandangkan harga terakhir dilakukan bagi sekuriti yang diluluskan menyusut lebih 15 peratus atau 15 sen daripada harga rujukan.

“Jualan singkat di bawah IDSS hanya akan diaktifkan pada hari dagangan berikutnya, 4 Mac 2025 pada  8.30 pagi,” katanya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 24.43 mata kepada 11,711.89, Indeks FBMT 100 rendah 17.20 mata kepada 11,479.37, Indeks FBM Emas Shariah menyusut 63.76 mata kepada 11,348.03, dan Indeks FBM ACE rendah 64.92 mata kepada 4,692.07.

Bagaimanapun, Indeks FBM 70 meningkat 2.75 mata kepada 16,639.38.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 1.41 mata kepada 755.55, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 57.08 mata kepada 19,384.03, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.82 mata kepada 156.53 dan Indeks Perladangan rendah 90.01 mata kepada 7,519.69.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.64 bilion unit bernilai RM2.19 bilion daripada 3.08 bilion unit bernilai RM6.22 bilion Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.13 bilion unit bernilai RM117.87 juta berbanding 895.42 juta unit bernilai RM86.33 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 410.41 juta unit bernilai RM125.43 juta berbanding 409.10 juta unit bernilai RM139.80 juta pada Jumaat lepas.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 328.62 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (427.09 juta), pembinaan (117.82 juta), teknologi (207.07 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (92.72 juta), hartanah (121.43 juta), perladangan (22.94 juta), REIT (17.50 juta), dana tertutup (10,700), tenaga (154.16 juta), penjagaan kesihatan (70.43 juta), telekomunikasi dan media (25.98 juta), pengangkutan dan logistik (25.99 juta), utiliti (27.15 juta), dan amanah perniagaan (739,800).

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan