Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin berikutan pasaran mata pertukaran wang asing memasuki minggu ini dengan keadaan sangat berwaspada serta bergelut dengan situasi tunggu dan lihat menjelang penguatkuasaan tarif AS oleh Presiden Donald Trump esok, kata seorang penganalisis.
Minggu lepas, Presiden AS itu mengumumkan cadangan pelaksanaan tarif 25 peratus ke atas barangan Mexico dan Kanada akan berkuat kuasa pada 4 Mac, bersama-sama dengan duti tambahan 10 peratus ke atas import China.
Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.4640/4680 berbanding 4.4600/4650 ketika ditutup pada Jumaat.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes bagaimanapun menyuarakan keyakinan berhubung kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick, hujung minggu lepas.
Lutnick merujuk kepada pendekatan Trump terhadap Mexico dan Kanada sebagai mungkin boleh berubah mengikut keadaan semasa dan ini mencetuskan sentimen positif terhadap pasaran.
"Itu sudah cukup untuk memberi pasaran harapan penangguhan pada saat-saat akhir. Namun, ringgit ditutup rendah sedikit hari ini. Saya rasa para pedagang mata wang asing sedang meneliti bahawa China mungkin tidak akan mendapat laluan yang mudah. Persoalan sebenar adalah sejauh mana Beijing akan terjejas."
"Pasaran telah mengambil kira dua pusingan tarif 10 peratus berkenaan, tetapi jika Trump meneruskan pelaksanaan tarif tersebut, pasaran mata wang asing Asia dijangka terjejas teruk," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama.
Ia merosot berbanding pound Britain kepada 5.6394/6444 daripada 5.6174/6237 ketika ditutup pada Jumaat, turun berbanding euro kepada 4.6586/6628 daripada 4.6362/6414 dan merosot sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.9683/9711 daripada 2.9682/9717.
Mata wang tempatan itu juga diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3130/3163 daripada 3.3069/3108 dan menyusut berbanding baht Thai kepada 13.0576/0762 daripada 13.0455/0670.
Mata wang tempatan itu juga merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 270.8/271.2 daripada 268.7/269.1 dan turun berbanding peso Filipina kepada 7.71/7.72 daripada 7.69/7.70.
-- BERNAMA