PUTRAJAYA, 3 Mac (Bernama) -- Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Balok Baru, Kuantan direkodkan pada tahap 250 iaitu sangat tidak sihat setakat 4 petang tadi.
Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata keadaan itu disebabkan oleh kebakaran tanah gambut di sebuah ladang kelapa di Cherating, Kuantan.
Beliau berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengeluarkan Nota Pemberitahuan Amaran 3A & 3B kepada Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) untuk tindakan hebahan Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana bagi mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah/Negeri dan mengambil tindak balas berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
"JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti pemantauan melalui darat dan udara dengan menggunakan dron serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.
"Koordinasi di antara agensi berkaitan bagi merancang kerja-kerja pemadaman dan kawalan kebakaran turut telah diadakan," katanya dalam kenyataan malam ini.
Sementara itu, Wan Abdul Latiff berkata berdasarkan Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh Pusat Meteorologi Khas ASEAN, selatan Asia Tenggara hari ini mengalami cuaca mendung di kebanyakan bahagian kecuali Semenanjung Malaysia dan utara Sumatera, Indonesia.
Beliau berkata beberapa kawasan panas terpencil dikesan di Semenanjung dan tengah Sumatera dengan kepulan asap setempat diperhatikan berpunca daripada titik panas yang dikesan di kawasan pantai timur Semenanjung.
Semua pemilik tanah turut dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar untuk mengelakkan kejadian pembakaran terbuka.
Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran kecil dan melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727.
-- BERNAMA