AM

MNKT LULUS GARIS PANDUAN PERANCANGAN BANDAR RENDAH KARBON

03/03/2025 11:22 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) meluluskan garis panduan perancangan bandar rendah karbon dan berdaya tahan perubahan iklim dalam mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di sini hari ini.

Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Garis panduan itu akan menjadi dokumen penting dalam perancangan bandar serta membantu aspirasi negara mencapai status GHG Sifar Bersih menjelang 2050.

Mesyuarat kali ke-85 itu turut dihadiri oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, exco kerajaan negeri, menteri persekutuan yang berkaitan serta pegawai kanan kerajaan.

Menurut kenyataan KPKT, mesyuarat itu juga bersetuju melaksanakan perintah khidmat masyarakat bagi kesalahan pembuangan sampah kecil melalui beberapa rang undang-undang (RUU) berkaitan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025, Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025 serta Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025.

“Pelaksanaan perintah khidmat masyarakat ini bertujuan membantu kerajaan membendung serta menangani aktiviti pembuangan sampah kecil, selain mendidik pesalah supaya lebih prihatin terhadap kebersihan persekitaran. Langkah ini diambil bagi mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar serta risiko penyakit.

“Hukuman ini menyokong  dasar kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Blueprint Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal serta Dasar Kebersihan Negara dan ia bertujuan memastikan masyarakat lebih cakna terhadap kebersihan dan menjadikannya sebagai budaya,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, MNKT bersetuju dengan penambahbaikan kriteria naik taraf pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mempercepatkan proses permohonan penubuhan hospital swasta daripada 24 bulan kepada enam bulan.

Selain itu, mesyuarat turut mengambil maklum mengenai penambahbaikan proses permohonan kelulusan persembahan artis luar negara bagi kategori konsert.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan