JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI DISYAKI PENGEDAR DADAH DITAHAN DI HULU SELANGOR

04/03/2025 12:40 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam pengedaran dadah ditahan bersama beberapa jenis bahan terlarang itu di susur keluar tol Lembah Beringin, Hulu Selangor, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Faizal Tahrim berkata suspek berumur 52 tahun itu ditahan kira-kira 4.40 pagi oleh anggota polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan berkenaan.

“Dadah heroin, syabu dan eramin 5 yang kesemuanya seberat 682 gram dengan nilai RM13,220 dijumpai  dalam kenderaan yang dinaikinya.

“Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau kes dadah dan hasil saringan air kencing, suspek positif dadah jenis methamphetamine dan morfin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Faizal berkata dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 2,728 pengguna dengan mengambil kira penggunaan sebanyak 0.25 gram bagi setiap pengambilan.

Beliau berkata suspek direman tujuh hari hingga 7 Mac ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39b dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan