JENAYAH & MAHKAMAH

NAHAS KM204: SYARIKAT LORI MENGAKU TIDAK BERSALAH DI MAHKAMAH MAJISTRET ALOR GAJAH

04/03/2025 03:25 PM

ALOR GAJAH, 4 Mac (Bernama) -- Sebuah syarikat logistik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini atas pertuduhan membawa lebih muatan di Kilometer (KM) 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan pada 23 Dis lepas.

Orang Kena Saman, yang diwakili pengurus operasinya Ng Chee Keong, 36, membuat pengakuan itu hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee hari ini.

Syarikat berkenaan didakwa melanggar syarat lesen membawa muatan serbuk simen jenis OPC seberat 68,260 kilogram (kg), lebih 16,260kg daripada had berat yang dibenarkan iaitu 52,000kg kira-kira 8.30 malam, 23 Dis lepas di KM204 PLUS arah selatan. 

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM500,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya serta boleh dilucuthak, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Mohd Asri Abd Rahman Sidik manakala syarikat terbabit diwakili peguam Chew Jee San.

Mahkamah menetapkan 8 April depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Nahas ngeri kira-kira jam 8.45 malam itu telah mengorbankan tujuh individu manakala 33 lagi cedera membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan sebuah Perodua Bezza.

Mereka yang maut adalah pemandu bas Noorisnien Khamid, 56, dan seorang penumpang warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66, selain lima sekeluarga yang menaiki Toyota Estima iaitu Khairul Izwan Mazupi, 32; Fadzlenna Ramli, 32; Ramli Ab. Wahab, 66; bayi berusia dua tahun, Muhammad Umar Khairul Ikhwan dan Fauziah Jaafar, 69.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan