AM

TIDAK SIHAT SERING DIJADIKAN ALASAN INDIVIDU DICEKUP PONTENG PUASA - EXCO

08/03/2025 04:16 PM

MELAKA, 8 Mac (Bernama) -- Tidak sihat dan tidak larat berpuasa sering dijadikan alasan oleh individu yang ditangkap kerana ponteng puasa, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka Datuk Rahmad Mariman.

Beliau berkata setakat ini, lapan lelaki ditahan kerana didapati tidak berpuasa dan makan di tempat awam ketika pemeriksaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di premis makanan menerusi Operasi Kesalahan Tidak Menghormati Ramadan.

"Mereka ditahan di bawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, dengan 127 kedai makan telah diperiksa menerusi 11 operasi setakat hari ketujuh puasa dan penguatkuasaan akan diteruskan terhadap mereka yang tidak menghormati Ramadan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengetuai operasi berkenaan di sekitar Peringgit dan Bukit Rambai yang turut dihadiri Pengarah JAIM Datuk Md Azhan Samat dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIM Akmal Nadzim Abdullah.

Rahmad berkata individu yang ditahan di bawah kesalahan berkenaan tidak boleh dikompaun sebaliknya perlu hadir ke mahkamah dan jika sabit kesalahan bagi kali pertama, boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan.

Berhubung operasi hari ini, beliau berkata JAIM menahan dua lelaki berusia 50-an yang didapati ponteng puasa dengan alasan sakit dan tidak larat kerana melakukan kerja berat.

"Seorang bekerja sebagai tukang pendawaian elektrik memberi alasan tidak sihat manakala rakannya mengaku tidak larat berpuasa kerana bekerja sebagai tukang rumah.

"Walaupun memberikan alasan tidak sihat, namun sebagai umat Islam ia tidak boleh dijadikan alasan untuk makan di tempat awam," katanya sambil memaklumkan 31 kes ponteng puasa direkodkan tahun lepas.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan