AM

WARGA KOTA BERBUKA ALA PIKNIK DI DATARAN MERDEKA

09/03/2025 11:17 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Berbuka puasa ala piknik di tempat terbuka berlatarkan pemandangan yang indah, kini menjadi trend dalam kalangan anak muda serta seisi keluarga yang ingin menikmati pengalaman berbuka dalam suasana santai.

Tinjauan Bernama di Dataran Merdeka mendapati orang ramai khususnya warga kota tiba seawal 5 petang, lengkap membawa tikar, bekalan juadah berbuka dan dekorasi ringkas seperti kerusi dan meja lipat.

Bagi seorang pelajar di Universiti Kuala Lumpur, Nur Ain Sofia Zulkarlnain, 22, berkata pengalaman berbuka di kawasan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad yang dikelilingi bangunan pencakar langit itu memberi kegembiraan dan keseronokan kepadanya apatah lagi sambil menikmati pelbagai juadah.

“Kami dah rancang untuk datang ke sini sejak Ramadan tahun lepas lagi, tetapi perancangan itu tidak pernah menjadi, jadi hari ini kami tekad untuk nak rasa sendiri suasana berbuka puasa di sini,” katanya.

Seorang lagi pengunjung Muhammad Azizi Azhar, 30, berkata berbuka puasa secara piknik itu bukan sahaja menjimatkan kos malah memberi peluang untuk merapatkan hubungan bersama keluarga.

“Kalau makan di restoran bulan puasa ini memang susah, sebab nak dapat tempat makan itu ada yang kena tempah, tetapi bila makan di sini lebih santai dan anak-anak pun boleh main (di kawasan sekitar) sebelum berbuka puasa,” katanya.

Sementara itu, Abdullah Hanif, 28, yang merupakan warga Bangladesh berkata berbuka puasa di Malaysia tidak jauh beza dengan negaranya kerana rakyat di kedua-dua negara ini mempunyai sifat pemurah dalam memberi makanan.

 Wartawan Bernama juga berkesempatan melihat menu berbuka daripada Bangladesh yang dibawa Abdullah yang bekerja dalam sektor Logistik di Kajang seperti burinda, piyaju, egg chop dan aneka buah-buahan.   

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan