AM

GERAK RAHMAH: JOM MASAK BUBUR LAMBUK PERKUKUH PERPADUAN MASYARAKAT

08/03/2025 05:11 PM

KANGAR, 8 Mac (Bernama) -- Program Gerak Rahmah: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan dapat memperkukuh perpaduan sekali gus memastikan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini sentiasa terpelihara.

Pengarah Perpaduan Perlis Hanita Ahmad berkata sebanyak 75 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negeri berkenaan terlibat dalam program itu tahun ini.

Beliau berkata 15 KRT melaksanakan program itu di Taman Kemajuan di sini hari ini manakala 60 KRT lagi menggerakkannya di kawasan masing-masing.

"Alhamdulillah, hampir 500 peserta termasuk agensi seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat turut serta dalam program ini di Taman Kemajuan," katanya kepada pemberita selepas perasmian program itu bagi peringkat negeri Perlis 2025 hari ini.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Perpaduan dan Alam Sekitar Perlis Wan Badariah Wan Saad bagi mewakili Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.

Hanita berkata sebanyak 16 periuk bubur lambuk disediakan dalam program itu dengan setiap KRT mengagihkan kira-kira 200 bekas kepada komuniti setempat selain 1,000 bekas lagi diagihkan kepada golongan memerlukan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan