AM

KEBEBASAN BERSUARA PERLU DIAMALKAN SECARA BERTANGGUNGJAWAB, ELAKKAN PROVOKASI – LEE

08/03/2025 11:51 AM

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) – Kebebasan bersuara merupakan hak asasi yang perlu diamalkan secara bertanggungjawab, kerana penyalahgunaannya untuk mencetuskan provokasi atau menghina pihak lain boleh menjejaskan nilai demokrasi serta mengancam kestabilan negara.

Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara Tan Sri Lee Lam Thye berkata Malaysia telah lama dibina atas asas saling menghormati, bertoleransi dan memahami dalam kalangan masyarakat majmuknya.

“Saya menyokong penuh gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar segala bentuk ejekan berasaskan kaum dan agama, serta kenyataan berbaur hasutan yang boleh mengganggu keharmonian dan perpaduan negara dihentikan.

“Insiden baru-baru ini yang melibatkan kenyataan berbaur perkauman dan keagamaan serta tindakan tidak sensitif daripada pihak tertentu berisiko meruntuhkan asas perpaduan kita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lee menegaskan bahawa jika dibiarkan berlarutan, tindakan dan kenyataan sedemikian boleh menimbulkan perpecahan, menyemai kebencian dan diskriminasi, malah berpotensi mencetuskan keganasan.

Beliau turut menggesa semua pemimpin politik, tokoh masyarakat dan pengguna media sosial agar mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan permusuhan serta memperkukuh mesej perpaduan dan rasa hormat.

“Pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba mengganggu ketenteraman melalui retorik kebencian. Dalam situasi ini, perpaduan adalah kekuatan terbesar kita. Marilah kita bersama-sama menjadikan kepelbagaian Malaysia sebagai sumber kebanggaan dan kekuatan, bukan perpecahan,” katanya.

Pada 6 Mac, Anwar mengingatkan semua pihak agar tidak mengambil kesempatan untuk membangkitkan sentimen perkauman dan menyebarkan kebencian.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan