AM

INTERVENSI KERAJAAN PASTIKAN BEKALAN MINYAK MASAK BOTOL CUKUP UNTUK RAKYAT - ARMIZAN

08/03/2025 06:47 PM

PAPAR, 8 Mac (Bernama) -- Intervensi segera yang dilaksanakan kerajaan adalah penting bagi memastikan bekalan minyak masak sawit tulen kemasan botol cukup untuk keperluan rakyat dalam tiga tempoh tiga bulan ini.

 Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata ini berikutan ada syarikat mengurangkan pengeluaran minyak masak itu hingga 50 peratus berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) dunia meningkat, yang menyebabkan kekurangan bekalan.

Beliau berkata tempoh tiga bulan itu juga penting bagi memastikan rakyat mendapatkan bekalan minyak masak yang cukup bagi meraikan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan, dan Hari Gawai sekitar tempoh tersebut.

“Intervensi ini adalah penyelesaian jangka masa pendek segera melalui pemberian insentif khas, namun kita juga perlu fikirkan (penyelesaian) jangka masa panjang. Kita akan bincangkan dengan semua pihak terlibat bagaimana kita mahu tangani isu ini dalam jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Servis Ihsan MADANI@Petronas Autoexpert (Sim@Pax) Hari Raya Aidilfitri dan Ikhlas Ramadan Bersama Gas Petronas di sini hari ini.

Semalam, Armizan dilaporkan berkata kerajaan melaksanakan intervensi segera menstabilkan bekalan minyak masak sawit tulen kemasan botol di pasaran, dan keputusan itu dibuat susulan taklimat khas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengenai gangguan bekalan minyak masak botol.

Beliau berkata bagi dua bulan pertama tahun ini, harga purata MSM per tan adalah RM4,672.50 pada Januari manakala RM4,759 pada Februari, dan akibat harga MSM berlarutan ini syarikat pembungkus minyak masak botol terpaksa mengurangkan pengeluaran bagi mengawal kos kerana terikat dengan perintah harga kawalan maksimum.

Armizan berkata dalam tempoh tiga bulan itu juga Anwar telah meminta KPDN, Kementerian Kewangan, Kementerian Perladangan dan Komoditi serta semua pihak terlibat supaya mencari jalan penyelesaian jangka masa panjang untuk isu tersebut.

“Harga MSM meningkat tetapi kerajaan tetap mahu beri subdisi minyak masak peket dan tetap (melaksanakan) harga siling untuk minyak masal botol bagi bantu rakyat. Dalam masa sama kita faham kekangan dihadapi syarikat, jadi kita fikirkan jalan penyelesaian bagi imbangi keperluan kos sara hidup rakyat dan industri,” katanya.

Beliau berkata bagi melaksanakan intervensi itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menghubungi dan akan duduk semeja dengan syarikat terlibat pada awal minggu depan.

“Kita akan tetapkan mekanisme ini minggu depan, tandatangan persetujuan pada Isnin atau Selasa nanti selain terangkan mekanisme ini. Alhamdulillah mereka (syarikat terlibat) sebenarnya telah mula kembalikan produksi ke paras normal kerana komitmen (intervensi) yang telah kita nyatakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan