Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 9 Mac (Bernama) -- Vietnam dan Indonesia meraikan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik dengan persembahan orkestra khas di Jakarta pada Ahad malam.
Konsert yang dihadiri pegawai kanan dan kenamaan itu berlangsung di Ciputra Artpreneur Theatre, Jakarta Selatan, sempena lawatan negara selama tiga hari oleh Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam To Lam, ke Indonesia.
Persembahan itu menampilkan Orkestra Filharmonik Hanoi daripada Akademi Muzik Kebangsaan Vietnam dengan program simfoni klasik yang mengetengahkan beberapa artis terbaik Vietnam.
Instrumen tradisional Vietnam dan melodi rakyat turut disertakan bersama lagu-lagu terkenal dari kedua-dua negara.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Vietnam Bui Thanh Son menyifatkan konsert itu sebagai jambatan budaya yang dapat memperkukuh pemahaman rakyat Indonesia terhadap Vietnam.
“Hubungan antara kedua-dua negara kini memasuki era pembangunan yang luar biasa. Hubungan politik menjadi asas kukuh untuk memperluaskan kerjasama dalam semua sektor,” katanya dalam ucapan pembukaan.
Sejak pemeteraian Perkongsian Strategik pada 2013, hubungan kedua-dua negara terus kukuh dalam pelbagai bidang, termasuk politik, diplomasi, pertahanan, keselamatan, ekonomi serta pertukaran budaya dan hubungan antara rakyat, katanya.
Sementara itu, Menteri Kebudayaan Indonesia Fadli Zon menegaskan komitmen negara itu untuk memperkukuh kerjasama dua hala, khususnya dalam perdagangan, budaya dan hal ehwal serantau.
Persembahan selama sejam itu dihadiri To Lam, diplomat, pegawai kerajaan dan pemimpin perniagaan, sekali gus menonjolkan peranan diplomasi budaya dalam mempererat hubungan antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu.
Terdahulu pada sebelah siangnya, To Lam tiba di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur dan disambut pegawai kanan Indonesia, termasuk Menteri Hal Ehwal Maritim dan Perikanan Sakti Wahyu Trenggono.
-- BERNAMA