KOTA TINGGI, 8 Mac (Bernama) -- Polis merampas kelongsong dan anak peluru serta pelbagai sisa elektrik dan elektronik (e-waste) bernilai RM23.8 juta menerusi serbuan di sebuah kilang haram di Jalan Lombong, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata dalam serbuan yang melibatkan kerjasama Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki China dan dua warga Myanmar berumur lingkungan 23 hingga 50 tahun.
Beliau berkata siasatan mendapati premis berkenaan merupakan bekas kilang elektronik yang dijadikan sebagai tempat memproses e-waste dan pelbagai barangan terpakai termasuk komponen kapal terbang secara haram sejak empat bulan lepas.
“Berdasarkan siasatan awal, ketiga-tiga warga asing ini berperanan sebagai pekerja di premis terbabit dengan warga China itu merupakan penyelia.
“Kesemua mereka yang mempunyai pasport telah menyalahgunakan visa lawatan. Justeru, kita sedang menyiasat bagi mengesan suspek lain serta dalang kegiatan ini,” katanya pada sidang media di premis terbabit hari ini.
Beliau berkata secara keseluruhannya, polis merampas tujuh tong kelongsong dan satu tong anak peluru selain komponen elektrik seberat 46,214 kilogram (kg), aluminium dan plastik (514kg) serta wayar elektrik (22,791kg).
Turut dirampas antaranya 66 komponen elektrik mampat, 166 guni tembaga, 62 tong logam sekerap, 43 gelung besi, 10 tong bebola timah dan serbuk besi, tiga jentera pengangkut (forklift), sebuah kereta Proton X50 dan tiga telefon bimbit.
Yusof berkata premis berkenaan tidak mempunyai lesen operasi daripada MDKT serta kebenaran untuk memproses e-waste daripada JAS dan siasatan lanjut kini dijalankan bagi mengenal pasti dari mana barangan berkenaan diperolehi.
“Kesemua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta negatif dadah itu direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946 dan Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.
--BERNAMA