AM

PESAKIT ANGIN AHMAR DI KUANTAN TERIMA SUMBANGAN PERDANA MENTERI

09/03/2025 01:22 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) – Seorang pesakit angin ahmar di Bandar Baru Balok di Kuantan, Pahang menerima sumbangan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kamaruzaman Othman kini hanya terlantar dan bergantung sepenuhnya kepada ahli keluarga selepas diserang strok.

Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata satu ketika dahulu Kamaruzaman bekerja keras untuk menyara keluarga, namun serangan strok telah mengubah segalanya, menyebabkan beliau tidak dapat bekerja, hilang punca pendapatan, malah pergerakan menjadi terbatas.

"Hari ini, saya berkesempatan menziarahi beliau serta menyampaikan sumbangan daripada Perdana Menteri sebagai tanda sokongan kepada keluarganya," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau. 

Ahmad Farhan berkata meskipun kehidupan boleh berubah tanpa diduga, Kamaruzaman tidak berjuang sendirian.

"Kita doakan agar beliau terus diberi kekuatan serta dikurniakan aafiyah oleh Allah SWT," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan