PUTRAJAYA, 10 Mac (Bernama) -- Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) baharu Datuk Dr Anesee Ibrahim memulakan tugas secara rasmi hari ini.
Anesee menggantikan Datuk Seri Dr Zaini Ujang yang bersara wajib pada 3 Mac.
KPT dalam kenyataan hari ini, memaklumkan ketibaan beliau bagi memulakan tugas hari pertama disambut oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Datuk Mohamad Azhan Md Amir dan pengurusan tertinggi kementerian.
"Seterusnya beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir," menurut kenyataan itu.
Kenyataan juga memaklumkan pengalaman luas dalam bidang pentadbiran awam dan sektor pendidikan dimiliki Anesse diharap memperkukuh agenda pembangunan pendidikan tinggi selaras dengan aspirasi kerajaan MADANI dalam memastikan sistem pendidikan tinggi berkualiti, inklusif serta berdaya saing di peringkat global.
Anesee berkelulusan Doktor Falsafah dari Durham University, United Kingdom dan sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Beliau merupakan alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) (dahulunya Institut Teknologi MARA) di peringkat sarjana, sarjana muda dan diploma.
Anesee memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam pada 1994 sebagai pegawai tadbir diplomatik (PTD) dan pernah berkhidmat di beberapa jabatan dan kementerian antaranya JPA serta Kementerian Pendidikan selain pernah bertugas sebagai Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO Paris, Perancis.
-- BERNAMA