DUNIA

RINGGIT DITUTUP RENDAH BERBANDING DOLAR AS

10/03/2025 07:26 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Isnin susulan kebimbangan berterusan terhadap perang dagang, sementara tekanan deflasi di China semakin memberi kesan kepada mata wang Asia.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes bagaimanapun berkata mata wang tempatan itu tidak akan mengalami penurunan ketara ekoran keputusan terkini Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan kadar faedah pada paras yang stabil terus memberikan sokongan, yang mengehadkan penurunan ringgit.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.4200/4235 berbanding dolar AS daripada 4.4110/4145 ketika ditutup pada Jumaat. 

Menurut laporan Reuters, data pada Ahad menunjukkan Indeks Harga Pengguna (CPI) China menurun pada kadar yang paling ketara dalam 13 bulan pada Februari, manakala deflasi harga pengeluar berlanjutan untuk bulan ke-30 berturut-turut.

Sementara itu, Innes berkata 2 April adalah tarikh penting berikutan tarif timbal balik AS dijangka akan dilaksanakan dan berpotensi menjejaskan mata wang serantau.

“Sebarang kenaikan pada ringgit mungkin dihadkan kecuali data ekonomi AS semakin lemah dan memaksa Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk menurunkan kadar faedah lebih awal,” katanya kepada Bernama.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berkata ringgit berkemungkinan akan bergerak dalam julat yang kecil berbanding dolar AS walaupun terdapat kemungkinan Fed menurunkan kadar faedah disebabkan pasaran pekerjaan AS yang lebih lemah.

Ringgit juga didagangkan lebih rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Ia merosot berbanding yen Jepun kepada 3.0013/0039 daripada 2.9909/9935 ketika ditutup pada Jumaat, susut berbanding pound Britain kepada 5.7080/7125 daripada 5.7070/7115, dan menurun berbanding euro kepada 4.7992/8030 daripada 4.7903/7941 sebelum ini.

Mata wang tempatan itu bagaimanapun diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.0777/0943 daripada 13.1124/1290 ketika ditutup pada Jumaat, menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 270.0/270.3 daripada 270.6/271.0, dan sedikit mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.70/7.71 daripada 7.71/7.73 sebelum ini.

Ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3211/3242 daripada 3.3185/3214 ketika ditutup pada Jumaat.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan