KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Majoriti bank Malaysia mendapat penarafan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) yang melebihi penanda aras purata, selaras dengan piawaian antarabangsa dan menyaingi bank-bank Singapura, kata CIMB Securities Sdn Bhd.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, CIMB Securities berkata beberapa bank Malaysia dinilai sebagai peneraju di bawah penarafan ESG Morgan Stanley Capital International (MSCI).
"Kebanyakan bank Malaysia diberi penarafan AA, termasuk AMMB, CIMB, Maybank, dan RHB yang setara dengan penarafan AA yang diberikan kepada bank-bank Singapura, iaitu DBS, OCBC, dan UOB.
"Hong Leong dan RHB memperoleh penarafan A, yang berada dalam kategori purata MSCI. Tiada penarafan MSCI lagi untuk Affin Bank dan Alliance Bank," katanya.
CIMB Securities berkata walaupun penarafan ESG masih belum menjadi komponen utama dalam penilaian, peneraju ESG mungkin akan menarik penilaian premium dalam jangka panjang kerana penarafan ESG yang lebih baik bermakna risiko gangguan dalam perniagaan, keputusan yang tidak menguntungkan, dan risiko operasi adalah lebih rendah.
"Ini mungkin dicerminkan dalam kos ekuiti yang lebih rendah. Kami mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor ini, dengan Hong Leong, AMMB, dan RHB terus menjadi pilihan utama kami," katanya.
Sementara itu, RHB Investment Bank Bhd berkata taklimat keputusan kewangan untuk tahun 2025 menunjukkan kecenderungan yang sederhana dan stabil, kerana bank terus berjaga-jaga terhadap perkembangan geopolitik.
“Di dalam negeri, Keluaran Dalam Negara Kasar yang berdaya tahan dan pelaksanaan berterusan pelbagai rancangan pembangunan seharusnya positif untuk pinjaman.
"Bagaimanapun, pertumbuhan deposit terus menjejaki pertumbuhan pinjaman, dan kami akan memantau sama ada persaingan deposit semakin meningkat untuk menyokong keperluan pembiayaan bank-bank," katanya.
Ia berkata bank yang mempunyai operasi di luar negara juga berhati-hati terhadap pemotongan kadar faedah dan keadaan mudah tunai yang kurang menggalakkan yang berpotensi memberi tekanan terhadap margin faedah bersih.
"Mengenai kualiti aset, bank-bank terus memantau sebarang kelemahan, walaupun ia nampaknya terhad kepada segmen dan portfolio tertentu," katanya sambil menambah mereka juga mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor itu.
-- BERNAMA