KOTA BHARU, 10 Mac (Bernama) -- Sebanyak 53,000 Orang Kurang Upaya (OKU) di Kelantan telah berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dsehingga Disember tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Rohani Ibrahim berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan kesedaran dalam kalangan golongan OKU untuk mendaftar dan menyertai pelbagai inisiatif kebajikan serta sokongan yang disediakan oleh kerajaan.
"Mereka yang berdaftar ini dikategorikan dalam tujuh kumpulan iaitu penglihatan, pendengaran, pertuturan, fizikal, pembelajaran, mental dan pelbagai.
"Pendaftaran mereka dilakukan melalui penyelaras pembangunan OKU peringkat Parlimen, penghulu dan wakil rakyat," katanya kepada pemberita selepas Program Berbuka Puasa OKU Mahabbah di Dewan Pusat Tarbiyah Islamiah, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Rohani berkata kerajaan negeri sentiasa komited memastikan kebajikan dan kesejahteraan golongan OKU terus terbela serta berusaha memberikan tumpuan terbaik kepada golongan itu.
Menurutnya, setiap tahun kerajaan negeri membelanjakan lebih RM20 juta bagi kebajikan golongan miskin, OKU dan anak yatim.
"Kerajaan negeri sedaya upaya menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan termasuk bantuan segera, pendidikan, perumahan, pembangunan, pertanian serta kursus keusahawanan," katanya.
-- BERNAMA