AM

KERAJAAN TIADA PERANCANGAN JUAL PERUMAHAN DI TANAH RIZAB ORANG ASLI

10/03/2025 03:15 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Kerajaan setakat ini tidak bercadang untuk membangunkan perumahan bagi dijual di atas Tanah Rizab Orang Asli, kata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Beliau berkata, tanah yang diwartakan sebagai Tanah Rizab Orang Asli bertujuan menyediakan kawasan penempatan bagi masyarakat tersebut, bukan untuk tujuan komersial.

"Justeru, cadangan itu memerlukan kajian lebih terperinci kerana ia boleh memberi kesan kepada kebajikan dan kemaslahatan masyarakat Orang Asli," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Manolan Mohamad yang ingin mengetahui sama ada kerajaan bercadang untuk membangunkan perumahan baharu yang dijual kepada Orang Asli di kawasan Tanah Rizab Orang Asli.

Selain itu, Rubiah berkata, satu projek rintis sedang dilaksanakan bersama Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) bagi pembinaan rumah Orang Asli secara perkongsian kos antara Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan LPHP.

"Jika projek ini berjaya, kerajaan akan mempertimbangkan untuk memperluaskannya ke perkampungan Orang Asli lain," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kos sebuah rumah dalam projek ini adalah sebanyak RM115,000 dengan keluasan 720 kaki persegi.

Dalam perkembangan lain, Rubiah berkata kerajaan sedang bekerjasama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk melaksanakan projek rintis rumah generasi kedua masyarakat Orang Asli di Perak, bermula tahun ini.

Projek itu melibatkan pembinaan rumah berharga RM75,000, dengan SPNB menyumbang RM20,000 manakala RM55,000 dibiayai oleh JAKOA.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan