LEBIH DUA JUTA PEMINJAM PTPTN TELAH MULA BAYAR PINJAMAN
KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Seramai 2,448,105 atau 86.45 peratus peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah mula membayar balik pinjaman mereka setakat ini.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata daripada jumlah itu seramai 1,044,595 peminjam telah selesai membayar balik pinjaman mereka.
"Selain itu, seramai 585,638 peminjam sedang membuat bayaran balik secara konsisten dan tiada tunggakan bayaran manakala 817,872 peminjam membuat bayaran balik secara tidak konsisten dan mempunyai tunggakan," katanya.
Mustapha berkata 383,637 atau 13.55 peratus peminjam PTPTN tidak pernah membuat bayaran balik pinjaman serta turut memaklumkan sehingga 31 Dis lalu, sebanyak 4,108,625 pinjaman PTPTN telah diluluskan.
Mustapha berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Roderick Wong Siew Lead mengenai jumlah peminjam PTPTN yang tidak mempunyai tunggakan serta jumlah peminjam yang masih mempunyai tunggakan.
-- BERNAMA
SYARIKAT SWASTA, PARTI POLITIK BOLEH TERIMA INSENTIF PENCAPAIAN SDG DAN ESG – NANCY
KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Syarikat swasta berpeluang menerima insentif dengan menarik pelabur sekiranya mereka dapat membuktikan pencapaian dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
“Parti-parti politik juga boleh memperoleh insentif tersendiri dengan menarik minat lebih ramai untuk menyertai dan menyokong mereka, terutama dalam kalangan orang muda.
“Sekiranya mereka dapat membuktikan pencapaian ESG masing-masing menyediakan lebih banyak ruang dan peluang kepada wanita, ia pasti memberi kelebihan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Rosni Sohar yang ingin tahu bagaimana sasaran SDG dan ESG diaplikasikan dalam aspek pemerkasaan wanita di Malaysia.
-- BERNAMA
KERAJAAN KOMITED SEDIAKAN INSENTIF SUKAN KEPADA ATLET PARA MELALUI MSN
KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Kerajaan komited menyediakan insentif sukan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menghargai jasa atlet-atlet negara yang memenangi pingat di peringkat antarabangsa.
“MSN telah mengambil beberapa langkah relevan untuk memastikan atlet para yang memenangi pingat di peringkat antarabangsa menerima imbuhan setanding dengan atlet normal.
“Antara langkah yang diambil adalah penyelarasan elaun. Atlet-atlet para dibayar elaun sama dengan kadar yang diterima oleh atlet-atlet able (normal) mengikut kadar yang ditetapkan berdasarkan pencapaian semasa atlet tersebut,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Isaiah Jacob yang ingin mengetahui langkah kementerian dalam memastikan imbuhan kepada atlet Orang Kurang Upaya (OKU) yang memenangi pingat di peringkat antarabangsa adalah setanding dengan atlet normal, sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam mengharumkan nama negara.
-- BERNAMA