KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Kertas cadangan untuk memberi autonomi tambahan kepada Cawangan Perkhidmatan Penolong Pegawai Perubatan (C4P) kini di peringkat akhir dan dijangka dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada Mei ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengangkat peranan, posisi dan memperkukuh hala tuju strategik profesion berkenaan.
“Selain itu, KKM juga sedang merangka satu Rang Undang-Undang baharu bagi menggantikan Akta Pembantu Perubatan (Pendaftaran) 1977 [Akta 180], yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku pertama 2026.
“Kesemua langkah ini akan memperkukuh kedudukan dan peranan lebih 20,000 Penolong Pegawai Perubatan (PPP) dalam sektor kesihatan awam dan lebih 25,000 pengamal dalam seluruh sektor kesihatan umumnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Pembantu Perubatan Ke-14 Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Hospital Tunku Azizah di sini hari ini.
Beliau berkata KKM turut melihat kemajuan positif dalam kawal selia profesion melalui program AMOTeX dan Jawatankuasa Triage Kebangsaan, yang bukan sahaja meningkatkan piawaian profesion PPP, tetapi juga memartabatkan profesion tersebut di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sementara itu pada sidang media, Dzulkefly berkata KKM menyambut baik langkah positif Kementerian Pendidikan (KPM) yang menegaskan bahawa semua jenis makanan yang boleh membahayakan kesihatan murid termasuk gula-gula berbentuk vape tidak dibenarkan dijual dalam premis sekolah.
Beliau berkata langkah itu, selari dengan usaha kerajaan untuk menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bermula 1 Okt tahun lepas.
“Ini bukan perkara baharu. Kita sudah hadapi masalah ini sejak sekian lama dan kita menyambut baik tindakan KPM yang jelas selari dengan matlamat kita untuk memastikan kesihatan awam terpelihara,” katanya.
Mengenai sambutan hari ini, Dzulkefly berkata ia adalah sebagai pengiktirafan dan penghormatan terhadap jasa, dedikasi, dan pengorbanan besar PPP dalam memastikan kesejahteraan kesihatan rakyat Malaysia.
“Tahun ini, kita mengangkat tema ‘Revolusi Digital: Evolusi Pembantu Perubatan Pintar’. Tema ini bukan sekadar satu slogan, tetapi satu realiti yang sedang kita bina, selaras dengan agenda pendigitalan sektor kesihatan negara dan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli dan Ketua Penolong Pegawai Perubatan Malaysia Zulhelmi Abdullah.
Hari Pembantu Perubatan disambut pada 10 Mac setiap tahun di Malaysia.
-- BERNAMA