AM

LEBIH 1,200 PENSYARAH MUDA UNIVERSITI AWAM IKUTI KURSUS DI AKEPT SETAKAT TAHUN 2024

10/03/2025 03:54 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Seramai 1,269 ahli akademik muda dari universiti awam telah mengikuti kursus kepimpinan instruksional dan institusi di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sehingga tahun 2024.

Menurut KPT, pelaksanaan kursus yang dilengkapi dengan kemahiran pedagogi dan andragogi itu dapat meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk memperkasa pengajaran dan pembelajaran di IPT.

“Kursus yang dianjurkan setiap tahun itu merangkumi pelbagai modul, termasuk Modul Pembelajaran dan Pengajaran dalam Pendidikan Tinggi, Modul Pesona Kepimpinan serta Modul Pembangunan dan Pengurusan Kurikulum Transformatif,” menurut KPT menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Negara hari ini. 

Ia sebagai penjelasan kepada soalan dibangkitkan Senator Datuk Seri Prof Emeritus Dr Awang Sariyan mengenai langkah yang diambil AKEPT untuk memastikan pensyarah muda yang baru memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) diberi kemahiran penyampaian kuliah dari sudut pedagogi dan andragogi bagi mewujudkan keberkesanan kuliah.

KPT turut memaklumkan, AKEPT di bawah KPT memainkan peranan penting dalam membentuk kepimpinan yang berintegriti, progresif dan inklusif.

“Peranan ini dilaksanakan melalui pelbagai program pembangunan kepimpinan yang berstruktur kepada pengurusan tertinggi dan pertengahan,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan