JENAYAH & MAHKAMAH

KES KEWARGANEGARAAN ANAK LAHIR DI LUAR NEGARA OLEH IBU RAKYAT MALAYSIA CAPAI PENYELESAIAN

10/03/2025 03:53 PM

PUTRAJAYA, 10 Mac (Bernama) -- Anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, dan dilahirkan sebelum Akta Perlembagaan (Pindaan) 2024 diluluskan tahun lepas, adalah layak memohon taraf kewarganegaraan.

Ketetapan itu dibuat hasil penyelesaian yang dicapai dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor dan Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam ibu warga Malaysia.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat merekodkan perintah persetujuan yang dicapai oleh pihak-pihak berkenaan.

Di bawah terma perintah persetujuan itu, kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, dilahirkan di luar negara hasil perkongsian hidup ibu warganegara Malaysia dan bapa warga asing, yang dilahirkan sebelum Akta Perlembagaan (Pindaan) 2024 diluluskan tahun lepas, layak memohon kewarganegaraan di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan.

Tertakluk kepada Perkara 26 (1) dan pematuhan prosedur permohonan yang ditetapkan di bawah Perkara 15 (2) Perlembagaan Persekutuan, bersama-sama dengan dokumen sokongan yang diperlukan, kanak-kanak itu akan didaftarkan sebagai warganegara Malaysia berdasarkan syarat-syarat sedia ada yang diperuntukkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) 2024.

Terma lain ialah status kewarganegaraan Malaysia dan dokumen yang telah dikeluarkan kepada anak-anak perayu akan kekal sah, tertakluk kepada peruntukan-peruntukan yang terpakai di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) 2024.

Akta Perlembagaan (Pindaan) 2024 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat membenarkan kedua-dua ibu bapa memberikan kewarganegaraan Malaysia kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara, tetapi undang-undang itu tidak terpakai secara retrospektif.

Selain Tengku Maimun, panel itu diangggotai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.

Terdahulu dalam prosiding hari ini peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Family Frontiers dan enam ibu warga Malaysia memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan selepas beberapa perbincangan.

Peguam kanan persekutuan Liew Horng Bin mewakili kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut mengesahkan perkara itu.

Gurdial berkata pemohon menarik balik rayuan mereka dan meminta pihak mahkamah merekodkan perintah persetujuan, tanpa membuat sebarang perintah berkaitan kos.

Pada 10 Dis lepas panel Mahkamah Persekutuan menangguhkan rayuan untuk memberi peluang kepada kerajaan dan pihak berkenaan menyelesaikan pertikaian secara baik.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Gurdial memberitahu mahkamah bahawa pindaan kepada undang-undang kewarganegaraan yang diluluskan oleh Parlimen Oktober lepas tidak akan menjejaskan kes anak guamnya, kerana permohonan mereka hanya secara prospektif.

Pertikaian ini bermula pada September 2021 apabila Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang berpihak kepada Family Frontiers dan enam ibu Malaysia, bahawa anak-anak yang dilahirkan di luar negara berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia.

Bagaimanapun keputusan itu kemudiannya dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan dalam keputusan 2-1 pada 5 Ogos 2022.

Pada 14 Dis 2022 Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada Family Frontiers untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan. 

Family Frontiers dan enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing dengan anak yang dilahirkan di luar negara, telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi, menuntut hak anak mereka untuk mendapat kewarganegaraan Malaysia.

Mereka turut memohon perintah mahkamah supaya semua agensi kerajaan yang berkaitan, termasuk JPN, Jabatan Imigresen, dan perwakilan diplomatik Malaysia, memberikan dokumen kewarganegaraan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan