IPOH, 11 Mac (Bernama) -- Pengumpulan lebihan makanan menerusi program MySaveFood@Ramadan (MSF) tahun ini menunjukkan penurunan apabila hanya kira-kira 150 kilogram (kg) makanan dan minuman berjaya diselamatkan dalam tempoh seminggu, berbanding 400 kg pada tahun lalu.
Pengerusi Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia Negeri Perak Puteri Aisyah Megat Shariffudin, berkata lebihan makanan itu dikumpulkan dari empat bazar Ramadan di sekitar Perak sejak 4 Mac lepas.
"Setakat ini, program MSF telah dilaksanakan di Bazar Ramadan Taman Cempaka, Politeknik Ungku Omar, Teluk Intan dan CDEC Seri Iskandar.
"Penurunan jumlah ini mungkin disebabkan oleh peningkatan kesedaran dalam kalangan peniaga yang sebelum ini pernah terlibat dalam program MSF, sekali gus lebih cakna mengenai kepentingan mengelakkan pembaziran serta mengawal kuota penjualan makanan.
"Bagaimanapun, faktor lain seperti keadaan cuaca juga mungkin mempengaruhi jumlah lebihan makanan tidak terjual. Contohnya, jika hujan lebat, lebihan makanan berpotensi meningkat," katanya ketika dihubungi Bernama.
Puteri Aisyah berkata pada tahun lepas, program MSF berjaya mengumpulkan kira-kira 60,000 kg makanan dan minuman di seluruh negara, dengan Perak menyumbang kira-kira 3,000 kg daripada jumlah itu hasil operasi di sembilan bazar Ramadan.
"Bagi program MySaveFood@Ramadan 2025, kami merancang untuk melaksanakan inisiatif ini di beberapa daerah, termasuk Ipoh, Batu Gajah, Tapah, Teluk Intan, Bagan Datuk, Tanjung Malim, Seri Iskandar, Manjung dan Taiping.
"Kami menyasarkan 15 lokasi bazar Ramadan di kawasan terbabit dan program ini akan berlangsung dari 2 hingga 26 Mac tahun depan dengan matlamat yang sama, iaitu mengurangkan pembaziran di bazar Ramadan serta menyelamatkan makanan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan," katanya.
Beliau berkata makanan yang diselamatkan akan diedarkan kepada golongan asnaf, fakir miskin, gelandangan dan anak yatim.
"Antara penerima adalah ibu tunggal yang mempunyai enam orang anak. Kebiasaannya, mereka hanya mampu menyediakan satu atau dua hidangan sehari, namun dengan adanya inisiatif ini, anak-anak mereka berpeluang menikmati pelbagai jenis juadah," katanya.
-- BERNAMA