BATU KAWAN, 11 Mac (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang mengeluarkan 154 kompaun melibatkan nilai RM23,000 atas pelbagai kesalahan pengendalian makanan di negeri itu sejak awal Januari hingga semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata sepanjang tempoh sama, JKN Pulau Pinang turut mengambil 68 sampel makanan untuk dianalisis dan tindakan mahkamah telah diambil terhadap kesalahan yang dikenal pasti.
"JKN Pulau Pinang melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan(BKKM) menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan peniaga mematuhi standard kebersihan makanan yang ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
"Sejak awal Januari hingga semalam, 1,176 premis makanan termasuk kilang ais dan 2,299 pengendali makanan diperiksa bagi memastikan pematuhan syarat asas pengendalian makanan dan 154 kompaun dikeluarkan ke atas mereka," katanya kepada pemberita selepas meninjau Bazar Ramadan Batu Kawan di sini hari ini
Beliau berkata kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis, wakil premis dan pengendali makanan atas kesalahan seperti tidak menjalani latihan pengendali makanan, memakai perhiasan seperti jam dan cincin, tiada suntikan antitifoid dan pakaian pengendali makanan tidak mematuhi keperluan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Gooi berkata bagi pengendali makanan yang diperiksa, 2,213 orang mempunyai suntikan antitifoid manakala jumlah yang tidak mendapatkan suntikan tersebut sangat kecil dan telah diarah untuk mengambil suntikan segera.
Beliau meminta semua peniaga termasuk peniaga bazar Ramadan agar sentiasa mengamalkan kebersihan dan pengendalian makanan yang selamat bagi melindungi kesihatan pengguna.
“Pengguna pula disaran memilih gerai atau kedai yang bersih selain mengamalkan prinsip perhati, pilih serta amalkan lihat, hidu dan rasa sebelum menikmati makanan berbuka puasa,” kata menambah pihaknya mendapati peniaga di bazar Ramadan di negeri ini mematuhi peraturan termasuk dari segi aspek kebersihatan.
Gooi berkata JKN Pulau Pinang hanya menerima satu aduan sahaja setakat ini membabitkan pembungkusan makanan menggunakan plastik di bazar Ramadan iaitu dua hari lepas dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
-- BERNAMA