AM

MPOB BANGUNKAN DUA APLIKASI DIGITAL BANTU PEKEBUN KECIL URUS LADANG

12/03/2025 01:36 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah membangunkan dua aplikasi utama iaitu MySawit dan Tekno Sawit untuk membantu pekebun kecil menguruskan operasi dan aktiviti di ladang. 

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata kos pembangunan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT) tidak terlalu tinggi kerana ia dibangunkan menggunakan platform sumber terbuka serta peranti pintar sedia ada.

“Aplikasi Tekno Sawit berfungsi membantu pekebun kecil dalam memilih jenis jentera mekanisasi dan automasi yang sesuai untuk pelbagai kerja di ladang, bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti.

“Sementara aplikasi MySawit bertujuan membantu pengurusan operasi ladang sawit merangkumi fungsi pemantauan kerja di lot pokok, perekodan hasil tuaian, pembajaan, serta aspek pengurusan lain yang berkaitan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Hussin Ismail yang ingin tahu sejauh manakah teknologi AI dapat membantu mengatasi kekurangan tenaga buruh dalam sektor perladangan dan komoditi. 

Chan berkata MySawit dijangka akan dilancarkan selepas sambutan Aidilfitri bagi memudahkan pekebun kecil menguruskan ladang mereka dengan lebih sistematik dan berkesan.

Beliau berkata aplikasi itu dibangunkan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai panduan kepada pekebun kecil.

“Selain itu, kerjasama antara sektor kerajaan dan swasta dapat mempercepatkan penyebaran teknologi ini kepada pekebun kecil melalui insentif dan subsidi,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan