KUCHING, 12 Mac (Bernama) -- Sarawak telah membuat persiapan untuk memperoleh model pesawat ATR 72-600 yang baharu bagi operasi perkhidmatan udara luar bandar (RAS) di negeri itu.
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata model pesawat sedia ada akan diganti sebaik sahaja tempoh pajakan tamat iaitu dalam masa dua tahun.
“Ini akan dilakukan sebaik sahaja tempoh pajakan berakhir kerana pesawat sedia ada masih di bawah pajakan namun persiapan telah dibuat untuk memperoleh model ATR 72-600 yang baharu.
“Bagi pesawat jenis Twin Otter, ia masih agak baharu jadi kami belum membuat sebarang keputusan untuk menggantikannya,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.
Lee juga berkata syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo, akan mengekalkan RAS yang sebelum ini dikendali oleh MASwings Sdn Bhd.
Beliau berkata lebih banyak pesawat akan diperoleh sebaik sahaja syarikat penerbangan milik Bumi Kenyalang itu mengembangkan lagi perkhidmatannya ke seluruh rantau ini.
Sementara itu, Lee berkata pihaknya kini mengambil langkah proaktif bagi memastikan ketersediaan penerbangan yang mencukupi antara Kuala Lumpur dan Sarawak untuk individu yang merancang pulang ke kampung halaman sempena sambutan Hari Raya.
“Kami akan mengarahkan syarikat penerbangan untuk menyediakan penerbangan tambahan,” katanya.
Menyentuh mengenai Hari Raya yang bakal disambut tidak lama lagi, beliau berkata Majlis Keselamatan Jalan Raya Sarawak akan melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Hari Raya 2025 di Mukah pada 17 Mac ini untuk meningkatkan kesedaran terhadap amalan pemanduan secara selamat.
“Kami akan mengagihkan edisi khas ‘Sampul Duit Raya’ (peket hijau) sebagai sebahagian daripada kempen dan sampul tersebut menggabungkan elemen sambutan Hari Raya dengan mesej mengenai keselamatan jalan raya di bahagian belakang,” katanya.
-- BERNAMA