AM

KEBAKARAN DI PEKAN: PENAMBAHAN PARAS AIR UNTUK ELAK MEREBAK KE TANAH GAMBUT - JBPM

12/03/2025 10:27 PM

PEKAN, 12 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang mengambil langkah untuk meningkatkan paras air di kawasan kebakaran seluas 94 hektar berhampiran Kampung Cenderawasih di sini.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata langkah itu diambil bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke tanah gambut, sekali gus mengelakkan penghasilan asap tebal yang boleh menjejaskan penduduk berhampiran.

Beliau berkata kebakaran yang bermula pada 3 Mac itu melibatkan dua kawasan, iaitu bekas kebun nanas dan kawasan hutan.

"Sekarang, kita tidak mahu kebakaran di permukaan merebak ke dalam tanah gambut. Jadi, strategi kita adalah menaikkan paras air melalui parit besar yang terdapat di kawasan berkenaan.

"Kami meningkatkan paras air supaya kawasan yang terbakar dan masih membara dapat dibanjiri, sekali gus mengelakkan api merebak ke dalam tanah gambut," katanya.

“Setakat ini, kebakaran telah memusnahkan 94 hektar kawasan, dengan 67 hektar berjaya dipadamkan. Namun, kebakaran di kawasan bekas kebun nanas masih merebak lebih cepat berbanding kawasan hutan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan berkenaan, hari ini.

Beliau berkata pembanjiran air di kawasan berkenaan turut membolehkan anggota bomba memasuki kawasan terbakar dengan lebih pantas menggunakan bot.

Selain itu, Nor Hisham berkata sebuah helikopter bomba telah mula melaksanakan kaedah 'water bombing' sejak semalam dengan sebanyak 22 bom air dilepaskan, diikuti 27 kali lagi hari ini.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak bahawa kesukaran utama yang dihadapi ialah akses masuk yang terhad, sekali gus melambatkan usaha pemadaman.

Beliau menjangkakan sekurang-kurangnya tiga hari lagi diperlukan bagi memastikan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.

-- BERNAMA

 

 

    

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan