AM

BANTUAN KHAS KEWANGAN AIDILFITRI RM1,000 BUAT PENJAWAT AWAM PAHANG

12/03/2025 07:04 PM

KUANTAN, 12 Mac (Bernama) -- Kira-kira 8,000 penjawat awam negeri Pahang bakal menerima RM1,000 sebagai Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri.  

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata perkara itu dipersetujui menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) hari ini dan bantuan khas berkenaan akan mula dibayar seminggu sebelum Aidilfitri. 

Beliau berkata inisiatif itu yang bertujuan meringankan beban penjawat awam bagi menyambut Aidilfitri, melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM8 juta. 

"Diharapkan bantuan ini dapat meningkatkan semangat penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang demi kemakmuran dan kesejahteraan bersama," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sementara itu, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan negeri akan mengadakan Program Jualan Makmur Kluster Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2025, melibatkan jualan barangan makanan keperluan pada 22- 27 Mac ini di 26 lokasi seluruh Pahang.

Beliau berkata program itu melibatkan kerjasama pasar raya dan pembekal terpilih dengan pengurangan harga barangan daripada 15 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran semasa yang disubsidikan oleh kerajaan negeri melibatkan implikasi kewangan RM1.1 juta. 

"Justeru, saya berharap masyarakat negeri ini mengambil peluang menyokong program Jualan Makmur ini dengan menikmati pengurangan harga yang menarik bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri," katanya 

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan