KOTA KINABALU, 12 Mac (Bernama) -- Kelab Skuba Sabah mengecam sekeras-kerasnya video tular memaparkan sekumpulan penyelam mengganggu hidupan marin termasuk penyu dan ikan yu paus, dipercayai berhampiran Pulau Manukan di sini.
Presidennya Sim Fui menggesa penyelam supaya menghormati kehidupan marin dan mematuhi etika kerana tindakan sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang pemuliharaan marin, tetapi juga melanggar standard etika penyelaman yang melindungi ekosistem marin Sabah.
"Tindakan tidak bertanggungjawab ini menyebabkan tekanan yang tidak perlu kepada kehidupan marin dan mengganggu tingkah laku semula jadi hidupan. Ia merosakkan ekosistem yang menjadikan perairan Sabah sebagai destinasi menyelam terkenal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, kelab berkenaan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera dengan menjalankan siasatan dan mengenal pasti individu terlibat dalam kejadian terbabit.
Sim turut menggesa pihak berkepentingan dalam aktiviti selaman mematuhi amalan bertanggungjawab dan melaporkan sebarang pelanggaran yang mengancam biodiversiti marin.
"Dunia bawah laut Sabah adalah satu keistimewaan untuk diterokai, bukannya taman permainan untuk mempamer tingkah laku yang tidak sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata kelab berkenaan turut menzahirkan komitmen untuk terus menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, organisasi pemuliharaan dan komuniti penyelam untuk melindungi warisan marin negeri ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu juga, katanya diminta tampil bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Mohd Soffian Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan pihaknya mengambil maklum mengenai video itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
-- BERNAMA