TAWAU, 13 Mac (Bernama) -- Tertuduh ketiga dalam kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan atau Ijat hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia tidak melihat sendiri mangsa mencuri wang miliknya serta tertuduh keempat.
Saksi pembelaan kesembilan itu semasa pemeriksaan balas Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif juga memberitahu mahkamah bahawa tiada siapa yang melihat mangsa mencuri wang berkenaan.
Dalam perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol, tertuduh ketiga itu juga setuju dengan cadangan Nur Nisla bahawa wang yang hilang itu adalah miliknya serta tertuduh keempat.
Nur Nisla : Setuju atau tidak apabila kamu nampak Mohamad Nazmie Aizzat memberikan wang itu kepada tertuduh kelima dalam jumlah wang yang telah hilang, kamu marah?
Tertuduh ketiga : Tidak setuju (marah), terkejut.
Terdahulu, tertuduh ketiga dalam pernyataan saksi berkata tertuduh pertama serta kelima masing-masing mencari mangsa serta seorang pelajar lain bagi bertanyakan mengenai situasi kecurian wang berkenaan.
Tertuduh ketiga berkata bagaimanapun tertuduh pertama memberitahunya mangsa serta seorang pelajar lagi tidak mengaku mencuri duit terbabit.
“Tetapi ketika di bilik asrama 7 Resak saya melihat tertuduh kelima bercerita dengan mangsa, kemudian mangsa mengeluarkan RM50 dari poket seluar, serta RM27 dari buku notanya dan memberikan kepada tertuduh kelima. Selepas itu tertuduh kelima menyerahkan duit berkenaan kepada saya,” katanya lagi.
Pada 28 Feb lepas, mahkamah memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac tahun lepas.
Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain Nur Nisla, kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh , Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye manakala lima lagi diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang serta Kusni Ambotuwo.
Perbicaraan disambung esok.
-- BERNAMA