KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Dalam era digital yang berubah dengan pantas, kredibiliti media kini semakin teruji oleh kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang kian mempengaruhi landskap kewartawanan.
Pengarang Eksekutif Sinar Harian Ruzy Adila Idris, berkata hubungan antara media dan AI seharusnya bersifat kolaboratif dan bukannya bersaing, sambil mencadangkan formula 3C1H iaitu cekap, cermat, cerdas dan hati sebagai panduan utama dalam mengendalikan teknologi ini.
“AI berperanan sebagai alat bantu yang boleh memudahkan tugas wartawan, khususnya dalam aspek penyelidikan dan pengumpulan data. Namun, kita perlu cekap dalam mengawal selia maklumat agar ia tepat dan sahih.
“Cermat pula bermaksud setiap kandungan yang dihasilkan perlu disemak dengan teliti dan disokong oleh pihak berkuasa yang berwibawa. AI mungkin boleh mencadangkan topik berdasarkan data, tetapi penilaian (cerdas) dan etika yang saya rumuskan sebagai ‘hati’ hanya boleh diterapkan oleh manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi bertajuk "Kredibiliti Media di Era Prompt dan Algoritma”, yang turut menampilkan Pegawai Berita BERNAMA Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Azman.
Syed Iylia pula berkongsi cabaran yang dihadapi wartawan dalam mengekalkan integriti kewartawanan ketika masyarakat kini semakin mudah menyebarkan spekulasi di media sosial.
“Kes seperti kemalangan bas yang melibatkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, baru-baru ini, menunjukkan betapa cepatnya masyarakat memberikan pandangan tanpa menunggu fakta lengkap. Prinsip yang perlu kita pegang teguh sebagai wartawan ialah ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa wartawan harus bersabar, tidak terburu-buru dan sentiasa mendapatkan pandangan daripada kedua-dua pihak bagi menghasilkan laporan yang adil dan menyeluruh.
Mengulas cabaran dalam era informasi yang serba pantas, beliau berkata peranan wartawan kini semakin mencabar apabila mereka bukan sahaja perlu menulis, malah turut mahir mengambil gambar, menghasilkan video dan membuat siaran langsung di media sosial.
Katanya media arus perdana kini perlu menyesuaikan diri dengan perkembangan pelbagai platform seperti Instagram, Facebook, YouTube dan TikTok, yang masing-masing mempunyai gaya penyampaian berita tersendiri.
“Cabaran utama ialah bagaimana untuk menghasilkan kandungan yang terus menarik minat penonton sambil mengekalkan kualiti serta ketepatan berita,” jelas Syed Iylia.
Ruzy Adila dalam pada itu menyangkal dakwaan bahawa media kini kehilangan identiti akibat menggunakan sumber data yang sama. Beliau menegaskan bahawa setiap organisasi media masih mengekalkan gaya penulisan dan penyampaian yang unik melalui house style dan signature masing-masing.
“Ada media yang tidak menggunakan istilah tertentu dalam penulisan mereka. Itu merupakan identiti yang membezakan satu media dengan yang lain. Kita perlu kekal beretika dan saling menghormati dalam menjalankan tugas,” katanya.
-- BERNAMA