KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Majlis Media Malaysia (MMM) akan berfungsi bukan sahaja sebagai badan kawal selia, tetapi sebagai sokongan penting kepada agensi dan pengamal media tempatan untuk melindungi industri di tengah-tengah kemajuan teknologi yang pesat, kata Pengerusi jawatankuasa sementara MMM Premesh Chandran.
Beliau berkata pemain industri mesti melihat rangka kerja badan yang akan diwujudkan tidak lama lagi itu sebagai kerjasama strategik dan bukannya kerjasama kawal selia bagi menangani isu-isu seperti keupayaannya untuk beroperasi, dan fokus juga tidak seharusnya diberikan kepada tindakan punitif kepada media semata-mata.
Beliau bagaimanapun bersetuju dengan ahli panel lain supaya media bertanggungjawab terhadap kandungan yang dihasilkannya dan MMM akan memastikan terdapatnya langkah-langkah yang adil dan pemerhatian lebih teliti bagi mewujudkan industri yang lebih kondusif.
"Matlamatnya adalah untuk membantu industri media berkembang maju dan sebahagian daripada peranannya untuk memaklumkan masyarakat, mempertanggungjawabkan kerajaan dan memastikan masyarakat kita sendiri kaya dengan ilmu pengetahuan dan maklumat, supaya kita boleh membuat keputusan tepat yang bermaklumat mengenai demokrasi kita, dasar kita.
"Jadi bolehkah majlis media berbuat demikian? Itulah objektif muktamad dan bagaimana kita menyokong industri media dalam melakukan kerja yang baik dan juga memastikan industri itu mampan, (kerana) saya rasa kekangan terbesar yang kita hadapi sekarang ialah kewangan," katanya ketika menjadi ahli panel Forum Media HAWANA 2025 bertajuk "Malaysian Media Council: Regulator or Media Protector?" di sini hari ini.
Sesi itu turut disertai pengarah eksekutif Center for Independent Journalism (CIJ) Wathshlah G Naidu, editor kanan berita Kumpulan Media Star Philip Golingai dan Profesor dari Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-UIAM) Datuk Ahmad Murad Merican.
Forum pagi ini disertai lebih 250 wartawan, pengamal media, ahli akademik dan pelajar, dengan wartawan penyiaran Bernama TV Jessy Chahal bertindak sebagai moderator.
Hadir sama Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Yong Soo Heong, Ketua Pegawai Eksekutif MPI Ainol Amriz Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, yang juga Pengarah Projek HAWANA 2025.
Sementara itu Wathshlah yang berkongsi sentimen sama berpendapat MMM seharusnya berfungsi bukan sahaja sebagai badan kawal selia, tetapi juga sebagai mekanisme untuk membina kepercayaan orang ramai terhadap media dengan mempromosikan literasi media dan kewartawanan beretika.
Wathshlah berkata walaupun badan itu penting untuk membantu industri media berkembang dan kekal berdaya maju, ia juga mesti memainkan peranan dalam menegakkan standard dan etika.
Beliau berkata memupuk kepercayaan awam juga mesti menjadi mandat penting MMM, kerana ia secara langsung mempengaruhi cara orang ramai terlibat dengan media.
"Dalam membina kepercayaan orang ramai, anda juga mendidik orang ramai, jadi tidak kira siapa yang menganggap diri mereka sebagai wartawan, adalah penting bagi orang ramai mengetahui cara membezakan bahawa apa yang kita dengar, atau apa yang kita baca, sebenarnya adalah kandungan yang boleh dipercayai," katanya.
Penubuhan MMM adalah hasil perbincangan bertahun-tahun lamanya dalam kalangan pemegang taruh media di Malaysia, yang bertujuan menggalakkan kawal selia kendiri dan kebebasan akhbar di samping meningkatkan standard media.
Forum HAWANA 2025 anjuran bersama Bernama dan MPI juga menjadi platform penting bagi Jawatankuasa Sementara MMM menyuarakan pandangan mereka mengenai hala tuju industri selepas kelulusan Rang Undang-undang MMM 2024 di Parlimen Februari lepas.
HAWANA 2025 merupakan perhimpunan terbesar pengamal media Malaysia bertemakan 'Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika” anjuran Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana.
-- BERNAMA