SANDAKAN, 17 Jun (Bernama) -- Wartawan Sabah yang menghidap anemia menzahirkan penghargaan dan perasaan terharu apabila menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA yang disampaikan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching hari ini.
Wartawan Merdeka Daily News Jee Cheng Yee, 35, berkata sumbangan tunai itu sedikit sebanyak dapat meringankan perbelanjaan membeli ubat-ubatan dan kos rawatan beliau.
Ibu kepada tiga cahaya mata berumur lapan, empat dan 11 bulan itu berkata beliau menghidap anemia selepas menjalani proses kelahiran secara pembedahan bagi ketiga-tiga anaknya.
“Terima kasih kepada Persatuan Wartawan Sabah dan Persatuan Media Sandakan Sabah kerana membantu saya dalam proses permohonan Tabung Kasih@HAWANA.
“Saya berharap semoga sumbangan seumpama ini juga akan dapat membantu lebih ramai wartawan memerlukan,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Yeng Seng, di sini.
Jee telah berkecimpung dalam bidang kewartawanan selama 10 tahun dan berkhidmat di Sandakan.
Turut hadir Ketua Khidmat Pengurusan Kewangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Sharifah Zaini Syed Zain dan Ketua Hal Ehwal Korporat Bernama Mariati Mohd Arif.
Sementara itu, Teo berkata seramai 19 pengamal media Sabah telah menerima manfaat Tabung Kasih@HAWANA setakat ini.
Beliau berkata sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk sumbangan tabung itu pada tahun ini justeru berharap akan lebih ramai pengamal media memerlukan akan menerima bantuan berkenaan.
“Kami akan mempertimbangkan semua permohonan dan jumlah sumbangan mengikut situasi masing-masing,” katanya.
Tabung Kasih@HAWANA merupakan antara inisiatif yang mencerminkan semangat MADANI dalam mengangkat nilai ihsan dan keprihatinan khususnya kepada pengamal media yang pernah menyumbang kepada masyarakat namun kini diuji dengan cabaran hidup dan kesihatan.
Dilancarkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, tabung itu digerakkan oleh Kementerian Komunikasi dengan BERNAMA sebagai agensi pelaksana.
Sehingga kini, seramai 442 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada inisiatif Tabung Kasih@HAWANA melibatkan sumbangan RM1.2 juta.
-- BERNAMA