BERUAS, 15 Jun (Bernama) -- Malaysia tidak terlalu bergantung kepada import makanan dari Iran, sekali gus perkembangan konflik negara itu dan Israel tidak menjejaskan bekalan makanan negara, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata ini kerana keperluan import makanan dari Iran hanya kurma serta produk kekacang dan ia bukanlah komoditi makanan utama negara.
"Kebanyakannya (keperluan) import makanan kita tidak tinggi (dari Iran) kalau yang banyak (import) dari India, Pakistan, Timur Tengah, China dan negara Asean.
"Kita akan terus pantau perkembangan konflik Iran-Israel sama ada ia akan merebak ke negara-negara lain, atau konflik itu bersifat sementara sahaja," katanya pada sidang media selepas melawat ladang ternakan lembu milik Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak di Kampung Tengah di sini hari ini.
Jumaat lepas Israel melancarkan beberapa siri serangan terhadap wilayah Iran, yang mengorbankan beberapa pegawai kanan tentera dan saintis negara itu, dan sebagai tindak balas, Iran melancarkan peluru berpandu balistik ke beberapa lokasi di Israel, mengakibatkan beberapa kematian dan kecederaan.
Sementara itu ditanya mengenai kesan cuaca panas kebelakangan ini terhadap tanaman padi, Mohamad berkata setakat ini 60 peratus hasil pengeluaran padi negara tidak terjejas.
Beliau berkata bagaimanapun jadual penanaman padi perlu diubah mengikut hasil perbincangan dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).
"Kadangkala kita perlu ubah sedikit jadual (penanaman) dan sebagainya bergantung juga kepada keadaan cuaca dan kesesuaian menanam padi," katanya.
Mengenai lawatan hari ini Mohamad berkata pihak kementerian akan membantu ladang ternakan itu yang mempunyai kira-kira 500 ekor lembu, untuk membina pusat sembelihan bagi meningkatkan produktiviti.
"Kita meletakkan sasaran untuk mencapai tahap sara diri (SSL) daging melebihi 30 peratus pada tahun 2030 berbanding 20 peratus pada masa ini. Kita yakin boleh mencapainya berdasarkan kepada perkembangan semasa," katanya.
-- BERNAMA