KUANTAN, 16 Jun (Bernama) -- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan terus meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan udara negara melalui pelaksanaan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55) sebagai hala tuju strategik jangka panjang.
Panglima TUDM Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata CAP55 yang menjadi tunjang transformasi itu dirangka bagi memastikan TUDM kekal berdaya saing seiring dengan cabaran keselamatan moden yang semakin kompleks dan pelbagai dimensi.
"CAP55 bukan sekadar pelan perolehan aset tetapi merupakan pelan menyeluruh membabitkan pembangunan doktrin, struktur organisasi, teknologi serta modal insan.
“Pelan ini bukan untuk saya atau kepimpinan semasa, tetapi untuk generasi perwira dan perajurit yang akan datang agar mereka dapat menggalas amanah mempertahankan ruang udara negara dengan keupayaan terbaik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Sempena Hari Ulang Tahun TUDM ke-67 bertemakan "Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara" di Pangkalan Udara Kuantan di sini hari ini.
Beliau berkata pelan itu turut mempersiapkan TUDM dalam menghadapi ancaman bukan tradisional termasuk serangan siber, peperangan elektronik, penggunaan dron autonomi dan konflik hibrid yang kini semakin dominan dalam landskap pertahanan global.
Mohd Asghar Khan berkata beliau yakin bahawa pelaksanaan CAP55 akan diperkasakan di bawah kepimpinan baharu yang disifatkan berwibawa dan berpandangan jauh.
“Alhamdulillah, TUDM hari ini berada pada landasan yang kukuh, kami akan terus melangkah ke hadapan dalam usaha peningkatan keupayaan dan kekal siap siaga demi mempertahankan tanah air tercinta,” katanya.
Beliau berkata TUDM kini telah banyak berkembang daripada sebuah pasukan kecil kepada angkatan udara moden yang berwibawa, dengan rekod pencapaian dalam operasi udara konvensional, misi bantuan kemanusiaan dan pengoperasian pelbagai sistem senjata canggih.
Mohd Asghar Khan juga mengumumkan pada majlis sambutan itu yang beliau bakal mengakhiri perkhidmatan tidak lama lagi selepas lebih empat dekad bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Mengulas mengenai perkembangan pembelian 30 pesawat pejuang jenis F/A-18C D Hornet terpakai dari Kuwait, beliau berkata kedua-dua pihak sudah menubuhkan jawatankuasa untuk perbincangan lanjut sebelum proses pembelian dilakukan dalam waktu terdekat
"Tentera Udara Kuwait perlu mendapatkan pesawat pejuang F/A-18 Super Hornet yang dibeli dari Amerika Syarikat dahulu. Apabila mereka mula mendapat pesawat itu, baru pesawat lama dapat dihantar kepada kita," katanya.
-- BERNAMA