DUNIA

PRABOWO, WONG SERU RUNDINGAN DAMAI BAGI KONFLIK GAZA, ISRAEL-IRAN DAN MYANMAR

16/06/2025 11:42 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 16 Jun (Bernama) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong pada Isnin bersetuju untuk menggalakkan penyelesaian secara aman terhadap beberapa krisis serantau dan global yang semakin meruncing, termasuk konflik di Asia Barat dan ketegangan politik di Myanmar.

Bercakap selepas Pemukiman Pemimpin tahunan di Bangunan Parlimen Singapura, Prabowo berkata kedua-dua negara berkongsi “kebimbangan mendalam” terhadap situasi berterusan di Gaza dan ketegangan yang semakin meningkat antara Israel dan Iran.

“Kami menekankan kepentingan penyelesaian secara damai dan rundingan, serta menyeru gencatan senjata segera,” katanya pada sidang media bersama, menurut kenyataan Sekretariat Presiden.

Kedua-dua pemimpin turut menegaskan keperluan untuk pendekatan konstruktif bagi menyokong penyelesaian aman terhadap krisis politik Myanmar yang berpanjangan.

Wong mengulangi komitmen Singapura untuk memperkukuh kerjasama serantau dengan negara anggota ASEAN serta mempertahankan sistem pelbagai hala berasaskan peraturan.

Kedua-dua pemimpin turut mengiktiraf peranan strategik Indonesia dan Singapura dalam memelihara keamanan serantau dan memperkukuh aturan antarabangsa berasaskan peraturan.

Mereka turut menyaksikan pemeteraian lima memorandum persefahaman (MoU) strategik bagi memajukan kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi hijau, perdagangan tenaga rentas sempadan, sekuriti makanan, serta penangkapan dan penyimpanan karbon.

MoU berkenaan merangkumi kerjasama dalam teknologi pertanian dan keselamatan makanan, pembangunan industri yang mampan, perdagangan elektrik rentas sempadan, serta penangkapan dan penyimpanan karbon.

Sebanyak 14 lagi perjanjian dua hala turut diumumkan, termasuk pelaksanaan perjanjian Kawasan Maklumat Penerbangan (FIR), perjanjian ekstradisi, kemas kini kerjasama pertahanan, pensijilan halal bersama, pengaturan kewangan antara bank pusat serta kerjasama dalam bidang maritim, perundangan dan pendidikan.

Pelaburan baharu turut diumumkan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, penjagaan kesihatan, dan zon industri rendah karbon, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan