EKONOMI

BNM, KERAJAAN LAKSANAKAN INISIATIF 'RESET' TANGANI PENINGKATAN INFLASI PERUBATAN

17/06/2025 03:59 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jun(Bernama) --Bank Negara Malaysia (BNM) dan kerajaan sedang berusaha melaksanakan inisiatif RESET untuk menangani peningkatan inflasi perubatan di Malaysia.

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata inisiatif itu adalah komitmen bersama yang dilaksanakan dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan (MOF) bertujuan menyusun semula industri insurans perubatan dan kesihatan serta takaful.

Menurutnya, inisiatif RESET juga berfungsi untuk meningkatkan ketelusan harga, mengukuhkan sistem kesihatan digital, meluaskan pilihan rawatan yang berkesan dari segi kos dan mengubah mekanisme pembayaran penyedia perkhidmatan.

“Kejayaan RESET bergantung pada penglibatan semua pihak berkepentingan dalam mewujudkan sistem penjagaan kesihatan yang lebih mudah diakses dan berdaya tahan untuk rakyat Malaysia,” katanya menerusi ucapan alu-aluan pada Simposium Sasana 2025, di sini, hari ini.

Perbincangan lanjut mengenai RESET dan pembaharuan kesihatan secara menyeluruh akan dibincangkan dalam sesi panel bertajuk “Rising Cost, Rising Stakes: Expediting Reforms to Address Medical Inflation” yang diadakan pada 18 Jun.

Sesi itu akan menampilkan Abdul Rasheed bersama-sama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican dan Pakar Ekonomi Kanan daripada Bank Dunia Aakash Mohpal.

Sementara itu, Abdul Rasheed berkata pembaharuan struktur memerlukan pendekatan seluruh negara dan salah satu bidang yang jelas mencerminkan keperluan ini ialah pembaharuan penjagaan kesihatan memandangkan inflasi perubatan yang semakin meningkat memerlukan pendekatan yang terselaras.

Beliau berkata dalam suasana ketidaktentuan ekonomi, wacana terbuka penting untuk mengumpul idea terbaik bagi membolehkan Malaysia bertindak balas secara berkesan kepada cabaran luaran sambil terus memacu pembaharuan struktur untuk negara.

“Kita menghadapi persekitaran ini daripada kedudukan yang kukuh. Penunjuk berfrekuensi tinggi terkini seperti indeks pengeluaran perindustrian, perkilangan, perkhidmatan, eksport dan upah menunjukkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berdaya tahan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan