EKONOMI

BNM RANCANG JADIKAN PENDIDIKAN LITERASI KEWANGANNYA WAJIB KEPADA BELIA

17/06/2025 09:48 PM

KUALA LUMPUR,  17 Jun (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) merancang untuk menjadikan program literasi kewangannya, yang dikenali sebagai Rangkaian Pendidikan Kewangan (FEN) Proaktif mandatori kepada belia.

Timbalan Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata bank pusat itu teruja untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi menggalakkan belia untuk mendaftar dalam program ini.

"(Kami merancang) untuk mewajibkannya atau memberi mereka kredit dalam melaksanakan program pendidikan kewangan FEN Proaktif agar golongan belia dilengkapi dengan pengetahuan selepas mereka tamat pengajian atau semasa mereka mula bekerja.

"Ini adalah untuk memastikan mereka mempunyai literasi, pengetahuan dan kemahiran kewangan yang mencukupi dalam menghadapi keputusan kewangan pada bila-bila masa," katanya.

Adnan Zaylani berkata demikian semasa sesi panel mengenai topik "Menjamin Masa Depan Kewangan Belia: Meningkatkan Keupayaan Kewangan," yang berlangsung di Simposium Sasana 2025 anjuran BNM hari ini.

BNM sekarang ini sedang menunggu respons daripada kementerian yang terlibat mengenai perancangannya dan menambah, "Kami akan melihat jika kementerian-kementerian berkenaan akan mempertimbangkan cadangan itu."

Sesi panel itu juga dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh, yang turut menjelaskan mengenai data yang membimbangkan tentang bilangan belia yang muflis di Malaysia.

Pada 2024, terdapat 877 kes belia diisytiharkan muflis berbanding 727 pada 2023, menunjukkan peningkatan sebanyak 150 kes dalam setahun.

"Jika anda melihat kepada populasi sembilan juta golongan belia, ini agak kecil tetapi trendnya menakutkan. Mereka mudah untuk membeli sesuatu dan kemudian meletakkannya pada pelan ansuran atau bayar kemudian tetapi apabila anda mula mengumpul hutang kad kredit, anda kena bayar faedah, berbelanja dengan wang yang anda tidak miliki," kata Yeoh.

Oleh itu, beliau berkata di tengah-tengah trend yang semakin meningkat ini, kerajaan Madani telah meminda Akta Kebankrapan, yang membolehkan mereka yang berada di bawah usia 40 dan mempunyai hutang kecil, dilepaskan agar mereka dapat peluang kedua.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan