TANJUNG MALIM, 17 Jun (Bernama) -- Persatuan Takaful Malaysia (MTA) menyalurkan sumbangan RM50,000 ke dalam Tabung Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin, khusus bagi membantu waris serta pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan bas di Gerik, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Radzuan Mohamed berkata dana berkenaan, diperoleh melalui sumbangan daripada syarikat korporat yang terlibat secara langsung dalam industri takaful di negara ini.
“Kami amat bersedih di atas tragedi yang berlaku. Bagi pihak industri takaful, kami merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga yang terlibat.
“Ini satu detik untuk kita bersatu, walaupun tidak boleh mengubah keadaan, namun sumbangan yang dihulur itu cerminan rasa belas ihsan dan khidmat kami kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama pada Majlis Tahlil Perdana Untuk Mangsa Insiden Bas Pelajar UPSI di Dewan Tuanku Canselor UPSI di sini, malam tadi.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah serta Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.
Mohd Radzuan berkata selain MTA, beberapa pengendali Takaful seperti Etiqa Takaful, Syarikat Takaful Malaysia serta Hong Leong MSIG Takaful Berhad, turut menyumbang ke dalam Tabung KPT Prihatin.
Tabung KPT Prihatin yang diwujudkan khas bagi membantu waris dan mangsa nahas pelajar UPSI di Gerik, setakat ini berjaya mengumpul sumbangan keseluruhan berjumlah RM1.7 juta.
“Daripada jumlah kutipan keseluruhan, 10 peratus datangnya daripada sumbangan pihak MTA dan syarikat-syarikat yang terlibat secara langsung dalam industri takaful.
“Ini membuktikan bahawa kami mengangkat konsep bantu-membantu sebagai teras kepada sistem takaful yang berasaskan semangat komuniti dan kebersamaan,” katanya.
Pada kejadian awal pagi 9 Jun lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV).
-- BERNAMA