AM

WORLDWIDE ENTECH PROMOSI INOVASI TEKNOLOGI SISA-KE-TENAGA KE MALAYSIA

18/06/2025 10:34 AM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Worldwide Entech Sdn Bhd kini menerajui usaha mempromosikan teknologi Sisa-ke-Tenaga (WTE) sebagai penyelesaian penting dalam menangani cabaran pengurusan sisa dan perubahan iklim yang semakin meningkat di Malaysia.

Pengurus Besar Worldwide Entech Danial Liew Jin Sheon berkata Malaysia menghasilkan lebih 38,000 tan sisa pepejal setiap hari, dengan 137 tapak pelupusan sisa beroperasi di seluruh negara pada masa ini.

“Namun, hanya 21 tapak diklasifikasikan sebagai tapak pelupusan sanitari, manakala baki 126 tapak pelupusan tidak sanitari terus melepaskan gas metana dan larut lesap yang tidak dirawat ke alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan.

Menyedari keperluan mendesak untuk penyelesaian yang berskala dan bersepadu, Danial berkata Worldwide Entech, anak syarikat kepada Worldwide Holdings Berhad sedang mengetengahkan teknologi WTE sebagai inovasi utama yang mampu mengurangkan jumlah sisa, mengurangkan impak perubahan iklim dan menyumbang kepada pengeluaran tenaga negara.

“Teknologi WTE menawarkan kaedah yang selamat dan bersih untuk menukar sisa baki yang tidak boleh dikitar semula kepada tenaga elektrik melalui proses pembakaran terkawal.

“Setiap satu tan sisa yang diproses di kemudahan WTE, dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, khususnya metana, yang 25 kali lebih berbahaya daripada karbon dioksida,” kata Danial.

Beliau berkata sebagai sebahagian daripada usaha menyokong Rancangan Malaysia Ke-12 dan sasaran negara untuk mencapai kadar kitar semula sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2025, syarikat turut menawarkan penyelesaian infrastruktur pengurusan sisa secara menyeluruh.

“Ini merangkumi reka bentuk, pembinaan, operasi dan penjagaan selepas operasi bagi tapak pelupusan sanitari, loji rawatan bahan larut lesap bagi mengelakkan pencemaran air bawah tanah, sistem pemulihan gas tapak pelupusan (LFG) yang mengurangkan pelepasan metana dan menghasilkan tenaga.

“Ia juga termasuk kerja-kerja pemulihan tapak pelupusan lama, supaya menepati piawaian keselamatan alam sekitar serta pembinaan stesen pemindahan sisa bagi meningkatkan kecekapan dan mengurangkan pelepasan dalam proses logistik,” katanya.

Walaupun mempunyai manfaat alam sekitar, Danial berkata teknologi WTE masih berdepan salah tanggapan umum, yang menyamakannya dengan insinerator yang mencemarkan, sekali gus menjadi halangan utama kepada penerimaan masyarakat yang lebih meluas serta kelulusan dasar yang lebih pantas.

Danial berkata bagi mengatasi isu ini, Worldwide Entech sedang mempergiat usaha libat urus masyarakat, ketelusan alam sekitar dan pendidikan awam bagi mengubah tanggapan masyarakat terhadap penyelesaian pengurusan sisa moden.

“Worldwide Entech membantu mentakrifkan semula sisa, bukan sebagai beban, tetapi sebagai sumber mampan. Dengan mengolah semula pemahaman menerusi pendekatan pengurusan sisa secara menyeluruh dan berpandangan jauh, syarikat sedang membina asas ke arah masa depan yang lebih tahan terhadap perubahan iklim.

“Proses WTE moden dilengkapi dengan kawalan pelepasan yang kukuh dan mematuhi piawaian antarabangsa. Penekanan terhadap ketelusan dan pelaporan data membolehkan pihak berkepentingan melihat manfaat WTE secara nyata, termasuk pengurangan kebergantungan terhadap tapak pelupusan dan pemulihan tenaga,” katanya.

Danial berkata penyertaan Malaysia dalam Ekspo 2025 Osaka, turut mengukuhkan fokus negara terhadap kepimpinan dalam kelestarian dan inovasi ekonomi kitaran, sekali gus menunjukkan bagaimana teknologi seperti WTE boleh meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam infrastruktur hijau dan transformasi alam sekitar.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan