BATU KAWAN, 18 Jun (Bernama) -- Kuka Robot Automation (M) Sdn Bhd (Kuka Robotics Malaysia) memperkukuh komitmennya untuk memajukan automasi perindustrian dan inovasi robotik di Malaysia dan Asia Tenggara dengan pelancaran cawangan baharunya di Pulau Pinang di sini hari ini.
Kuka Robotics Malaysia merupakan anak syarikat syarikat automasi global Kuka Robotics (Kuka), yang berpangkalan di Jerman.
Ketua Pegawai Wilayah Kuka Asia Pacific kecuali China (APeC) Alan Fam berkata pengembangan syarikat itu ke Pulau Pinang susulan pelancaran pejabatnya di Kuala Lumpur tahun lepas, bertujuan menyokong peranan utara Malaysia sebagai hab pembuatan berteknologi tinggi dan pintar.
Fam berkata syarikat itu yakin dengan prospeknya di Pulau Pinang, memandangkan aktiviti pembuatan yang rancak di negeri itu.
“Pada suku pertama tahun ini, Malaysia merekodkan hampir RM90 bilion pelaburan diluluskan, dan Pulau Pinang berada dalam senarai lima negeri teratas dengan pelaburan diluluskan tertinggi.
“Itulah sebabnya pada pembukaan hari ini, kami telah membawa beberapa robot kami untuk melakukan demonstrasi mengenai keupayaan mereka, supaya bakal pelanggan boleh memahami bagaimana produk kami boleh membantu meningkatkan kecekapan dan mengautomasikan operasi,” katanya pada sidang media selepas pelancaran pejabat baharu Kuka Robotics Malaysia di sini hari ini.
Fam berkata pejabat tiga tingkat itu akan menempatkan operasi jualan dan perkhidmatannya, dan kemungkinan bagi pengembangannya, memandangkan Pulau Pinang merupakan pemacu pertumbuhan utama operasi syarikat itu.
Selain itu, bersempena dengan pembukaan hari ini, Kuka memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) untuk bekerjasama dalam pembangunan latihan robotik dan tenaga kerja.
Ketua Pegawai Eksekutif PSDC Dr Hari Narayanan berkata kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk mewujudkan kemudahan makmal latihan robotik di PSDC, melengkapkan bakat baharu bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk profesional berkemahiran dalam operasi robotik.
“Bersama-sama kami menyasarkan untuk merapatkan jurang kemahiran dan memupuk inovasi serta daya saing yang lebih baik dalam ekosistem tempatan,” katanya.
Sementara itu, CEO MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pengembangan syarikat itu ke Pulau Pinang menunjukkan ekosistem perindustrian Malaysia yang teguh dan permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian automasi termaju.
“Pejabat baharu ini akan memainkan peranan penting dalam menyokong industri teknologi tinggi kami menerusi penyertaan pelanggan yang lebih rapat, meningkatkan perkhidmatan teknikal dan pembangunan bakat tempatan.
“Inisiatif ini adalah seiring dengan matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, terutamanya dalam membina kekuatan Malaysia dalam automasi pintar,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo dan Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang Datuk Loo Lee Lian.
-- BERNAMA