PUTRAJAYA, 20 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggalakkan tokoh korporat dan wakil syarikat penaja Sekolah Angkat MADANI, untuk turun padang ke sekolah bagi menyantuni dan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai kepentingan pendidikan untuk masa hadapan mereka.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata selain menyumbang dari segi dana, keterlibatan syarikat dan tokoh korporat itu juga, membuka ruang kepada pelajar untuk berinteraksi bersama individu yang terlibat secara langsung dalam pengurusan atau operasi syarikat.
“Saya nak tekankan yang penting syarikat ini dan tokoh korporat ini punyai pengalaman dan kalau diperkenalkan kepada pelajar siapa dia, keupayaannya…jadi anak-anak itu akan tertarik dengan tokoh itu.
“Kalau tak sempat, sebulan sekali, dua tiga bulan sekali atau (sekurang-kurangnya dua kali setahun, turunlah sendiri ke sekolah. Beri jamuan teh sedikit kepada anak-anak dan terangkan apa makna pendidikan dan bagaimana pendidikan boleh mengubah dari segi mobiliti sosial ini,” kata beliau.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Sekolah Angkat MADANI yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di sini hari ini.
Anwar berkata inisiatif Sekolah Angkat MADANI juga bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR), malah ia memenuhi maksud compassion atau “ihsan” yang cuba dilengkapkan dalam kerangka negara MADANI.
“Ia melangkaui tanggungjawab sosial korporat (CSR). Kita bercakap mengenai ihsan, apabila mereka mengambil tanggungjawab untuk bersama-sama membina negara ini, memastikan tiada sesiapa yang tercicir. Tidak ada gunanya berbicara tentang angka pertumbuhan atau pelaburan yang mengagumkan semata-mata, jika kita memilih untuk meminggirkan golongan miskin dan terpinggir,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata kerajaan juga menyambut baik peranan aktif sektor swasta dalam membantu pembangunan pendidikan negara, sekali gus memberikan sedikit kelegaan dalam isu kemudahan dan infrastruktur pendidikan.
“Apabila kita minta kerjasama, tidak ada yang menolak, paling minima dua sekolah dia bagi (bantu), ada syarikat besar dia bagi 30 sekolah.
“Jadi saya minta KPM bagi kerjasama sepenuhnya (kepada syarikat terlibat), pada semua peringkat,” kata Anwar.
Antara syarikat yang terlibat dalam inisiatif Sekolah Angkat MADANI termasuk Yayasan Sime Darby, Yayasan Petronas, Yayasan UEM dan Yayasan TM, dan program yang bermula pada April lepas itu diselaraskan secara bersama oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan.
-- BERNAMA