AM

KEMENTERIAN PERPADUAN NEGARA LAKSANA PELBAGAI INISIATIF DORONG BELIA SERTAI RT

21/06/2025 02:44 PM

CHUKAI, 21 Jun (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melaksanakan pelbagai inisiatif dalam menggalakkan penglibatan golongan belia dalam aktiviti Rukun Tetangga (RT), kata Timbalan Menterinya K. Saraswathy.

Beliau berkata antaranya ialah dengan memperkenalkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif yang antara lain melibatkan pelaksanaan projek ekonomi bagi meningkatkan pendapatan isi rumah termasuk belia.

“Tahun ini kita menyambut ulang tahun RT ke-50. Daripada sebuah pasukan keselamatan komuniti, kini ia telah berkembang antara lain mempunyai Skuad Uniti, unit rondaan dan sebagainya.

“Jadi kita menggalakkan golongan belia menyertai RT supaya mereka boleh memainkan peranan di kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Perpaduan Peringkat Terengganu di Arena Square di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Maliaman Kassim.

Sementara itu, Saraswathy berkata sebanyak 8,565 KRT di seluruh negara termasuk lebih 500 KRT di Terengganu merupakan tulang belakang kepada usaha kerajaan menyatukan masyarakat.

Beliau berkata perkara ini merupakan bukti jelas bahawa semangat kesukarelaan dan nilai muafakat terus subur dalam kalangan rakyat Malaysia.

“RT juga memainkan peranan apabila timbul isu atau ketegangan dalam kalangan masyarakat termasuk yang tular di media sosial. RT sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam meredakan ketegangan yang timbul,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan