AM

SULTAN MIZAN BERKENAN RASMI MAYANG MALL, MERCU PERUNCITAN BAHARU TERENGGANU

21/06/2025 04:23 PM

KUALA TERENGGANU, 21 Jun (Bernama) -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan merasmikan  pusat beli-belah baharu di Terengganu, Mayang Mall.

Keberangkatan baginda dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah disambut Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

Turut berangkat ialah Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail, Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Datuk Seri Muhammad Mu'az, Tengku Puteri Utama Raja Tengku Datuk Seri Nadhirah Zahrah, serta Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra.

Raja Arshad berkata pembukaan Mayang Mall yang melibatkan pelaburan berjumlah RM400 juta merupakan satu lagi pencapaian strategik PHB dalam usaha memperkukuh kedudukan sebagai peneraju pembangunan hartanah komersial yang mampan dan bernilai tinggi di Malaysia.

Terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu, pusat beli-belah itu mempunyai keluasan 1.64 juta kaki persegi dan menempatkan 308 lot kedai yang menawarkan pelbagai barangan dan perkhidmatan merangkumi pelbagai segmen peruncitan.

“Kuala Terengganu dipilih sebagai destinasi pertama pelaburan PHB di Pantai Timur kerana potensinya yang besar dalam sektor pelancongan, perdagangan dan perkhidmatan.

“Kedudukan geografinya yang strategik, kemudahan infrastruktur yang lengkap serta bekalan modal insan yang kukuh juga menjadikan bandar ini berpotensi sebagai hab ekonomi baharu Pantai Timur,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Majlis Perasmian Mayang Mall.

Beliau berkata pembukaan Mayang Mall turut mewujudkan peluang pekerjaan, menyediakan platform kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan serta merancakkan sektor pelancongan negeri.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan