SUKAN

RACHEL TERUS KEMPUNAN GELARAN ASIA

21/06/2025 08:44 PM

KUCHING, 21 Jun (Bernama) -- Hasrat pemain skuasy wanita negara Rachel Arnold menamatkan kemarau gelaran Asia selama sedekad tidak kesampaian apabila tewas kepada wakil Hong Kong, Ho Tze Lok dalam aksi final Kejohanan Skuasy Individu Asia ke-23 di Pusat Skuasy Sarawak, Petra Jaya, hari ini.

Dalam perlawanan yang berlangsung selama 36 minit itu, pemain No. 19 dunia tersebut terpaksa akur dengan kehebatan lawan apabila tewas 4-11, 12-10, 4-11, 0-11 dalam pertarungan empat set.

Meskipun berjaya mencuri set kedua hasil semangat juang tinggi, anak kelahiran Kuala Lumpur itu gagal mengekalkan momentum apabila pemain lawan tampil lebih konsisten dengan pukulan tajam yang menyukarkan pergerakannya di gelanggang.

“Saya agak kecewa dengan persembahan di final… saya akui tekanan agak tinggi dan saya tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang hari ini.

“Ho bermain dengan sangat baik dan memberi tekanan dari awal. Mungkin saya perlu lebih tenang dalam situasi sebegitu,” kata Rachel, 29, yang turut mengakui cuaca panas menjadi antara cabaran utama sepanjang kejohanan.

Kekalahan itu menyaksikan penantian Malaysia untuk melihat wakil wanita kembali merangkul kejuaraan Asia terus berpanjangan sejak kali terakhir dimenangi legenda skuasy negara, Datuk Nicol Ann David pada edisi 2015.

Sebelum ini, Rachel turut terkandas di pentas final edisi 2021 di Islamabad, Pakistan, selepas ditewaskan pemain Hong Kong, Tong Tsz Wing.

Namun begitu, Rachel tetap positif dan berazam untuk bangkit lebih kuat dalam misi memburu gelaran sulung Asia serta meningkatkan kedudukan dalam ranking dunia.

“Saya masih memasang impian untuk meraih gelaran ini. Sasaran utama saya adalah untuk melonjak ke kelompok 10 terbaik dunia dalam ranking PSA (Persatuan Skuasy Profesional),” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan