AM

311 PELAJAR CEMERLANG SPM 2024 PARLIMEN SUNGAI BULOH TERIMA INSENTIF

21/06/2025 03:12 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Sebanyak 311 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dalam Parlimen Sungai Buloh hari ini menerima insentif berjumlah RM143,200.

Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R Ramanan berkata inisiatif oleh Pusat Khidmat Parlimen itu dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat (YBR) adalah bagi menghargai pencapaian pelajar selain meningkatkan motivasi mereka untuk terus mencapai kejayaan.

“Kesemua penerima hari ini mendapat keputusan cemerlang dan seterusnya mendapat manfaat program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah YBR. Ini bukan program baharu tetapi adalah kesinambungan.

“Sebelum ini, hampir RM500,000 disumbangkan kepada Pusat Khidmat Parlimen Sungai Buloh antaranya bagi program Back To School dan program melibatkan penuntut institusi pengajian tinggi awam,” katanya. 

Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian insentif itu di sini hari ini.

Beliau berkata program seperti itu akan diteruskan pada masa hadapan. 

Penerima insentif terdiri dari 11 sekolah sekitar Sungai Buloh membabitkan 10 penerima yang memperoleh keputusan 11A, 17 pelajar (10A), 83 pelajar (9A), 82 pelajar (8A) dan 119 (7A).

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan